KUALA LUMPUR: Isu melibatkan tawaran perjawatan tetap jururawat dan doktor di Sabah antara perkara yang dibangkitkan pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk meningkatkan jumlah tawaran perjawatan itu, bagi memaksimumkan sumber manusia bidang kesihatan di negeri berkenaan.

Beliau mendakwa berlaku lambakan pelajar kejururawatan dan doktor di Sabah berikutan tidak ada penawaran perjawatan tetap sehingga KKM terpaksa menghantar pegawai perubatan dari Semenanjung untuk membantu pasukan perubatan Sabah mengawal penularan Covid-19.

“Ramai lulusan jururawat terpaksa berkerja di pasar raya kerana tiada penawaran tetap bagi jawatan jururawat. Perkara ini perlu diteliti sebagai persedian untuk memperkasakan sumber manusia bidang kesihatan sekiranya kita berdepan masalah seumpama ini (Covid-19) pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menggesa diwujudkan keselarasan dalam perancangan mengawal penularan Covid-19 antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri termasuk memudahkan proses perolehan peralatan perubatan.

Sementara itu, Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) membangkitkan keperluan memperkasakan infrastruktur rangkaian jalan raya bagi kemudahan penduduk khususnya di kawasan pedalaman Sarawak.

Beliau berkata, walaupun rangkaian jalan dan jambatan sememangnya ada, namun masih banyak kemudahan diperlukan, terutamanya di kawasan yang mempunyai taburan kampung dan rumah panjang yang berselerak, misalnya di Bintangor, Sarikei dan Sibu. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image