KAJANG: Jabatan Penjara akan memperkasakan lagi program dan sistem kendaliannya sebagai usaha menangani isu kesesakan di dalam penjara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata pemerkasaan itu termasuk Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib, Pelepasan Banduan Secara Lesen, Program Reintegrasi Penghuni dan Program Pemulihan Pemasyarakatan.

“Menerusi program dan sistem ini, banduan akan menjalani latihan pekerjaan dalam sektor perkilangan, perladangan dan perkhidmatan di luar penjara dengan menikmati insentif gaji setaraf pekerja lain.

“Selain itu, mewujudkan Pusat Koreksional Komuniti menggunakan asrama-asrama yang disediakan oleh majikan bagi penempatan Orang Diparol, Orang Bebas Berlesen dan Orang Diselia. Inisiatif ini sekali gus mengurangkan kos perbelanjaan pengurusan dan membolehkan banduan terus bekerja sebaik sahaja mereka dibebaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjara ke-233 yang bertemakan “Reformasi ke Arah Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan” di Maktab Penjara Kajang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini, sebanyak 79,131 penghuni telah ditempatkan di 93 institusi di bawah pengurusan Jabatan Penjara di seluruh negara dan jumlah itu melebihi 11.2 peratus atau 7,312 penghuni daripada jumlah keseluruhan kapasiti iaitu 65,762 penghuni.

Saifuddin Nasution berkata selain itu, kementerian juga mengambil pendekatan memindahkan banduan dari penjara sesak ke penjara yang kurang sesak sebagai langkah menangani isu kesesakan di dalam penjara.

“Sekiranya ada peruntukan, kita boleh bina penjara baharu selain mengambil pendekatan menaik taraf penjara-penjara lama seperti Penjara Taiping, Perak; Penjara Alor Setar, Kedah dan Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan untuk meningkatkan kapasiti jumlah penghuni,” katanya.

Terdahulu, Sambutan Hari Penjara yang disambut hari ini adalah untuk menghargai kakitangan serta orang ramai yang telah menyumbang khidmat bakti kepada Jabatan Penjara. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image