BANGKOK: Cadangan Jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang dijangka membantu memudahkan aktiviti perdagangan dan pelaburan antara Thailand dan Malaysia terutamanya di sempadan khas zon ekonomi.

Timbalan Jurucakap Kerajaan Ratchada Thanadirek berkata jambatan kedua yang menghubungkan Sungai Golok di wilayah Narathiwat dan Rantau Panjang di Kelantan akan membantu meningkatkan pelancongan, perdagangan rentas sempadan dengan memudahkan pergerakan barangan, dan orang ramai antara kedua-dua negara.

Beliau berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha gembira dengan keputusan mesyuarat teknikal ketiga antara Malaysia-Thailand bagi projek pembinaan Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok yang diadakan di Putrajaya, Malaysia pada Selasa.

Beliau berkata Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan mencadangkan pada mesyuarat itu supaya semua masalah berkaitan diselesaikan tepat pada masanya seiring perancangan belanjawan untuk tahun fiskal 2024.

“Kemudian, pembinaan itu boleh disiapkan lebih awal untuk manfaat rakyat di kedua-dua negara terutama di wilayah Narathiwat Thailand dan Kelantan yang telah menunggu jambatan kedua selama lebih 20 tahun.

“Kerajaan mempunyai dasar untuk mengekalkan hubungan mesra dengan semua negara terutama negara jiran.

“Perdana Menteri (Prayuth) percaya bahawa situasi di sempadan akan terus bertambah baik melalui persahabatan dan pertukaran rakyat dengan rakyat,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengurusan nilai Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok telah dilaksanakan pada 18 hingga 22 Julai tahun lalu di Kota Bharu, Kelantan.

Selain itu, mesyuarat teknikal bersama Malaysia-Thailand yang diadakan tahun lepas turut membincangkan reka bentuk jambatan yang disediakan oleh Malaysia.

Thailand turut memaklumkan bahawa mereka bersetuju dengan konsep reka bentuk jambatan yang disediakan pihak Malaysia. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image