GEORGE TOWN: Orang ramai diminta tidak menimbulkan polemik perkauman terhadap tindakan polis menjalankan penguatkuasaan ke atas mat rempit dan bengkel motosikal yang didapati terlibat dengan pengubahsuaian motosikal bagi aktiviti lumba haram.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata penguatkuasan dan pencegahan kegiatan lumba haram termasuk serbuan di bengkel-bengkel motosikal dijalankan berdasarkan risikan serta siasatan yang telah dijalankan.

“Kami minta orang ramai jangan libatkan polis dengan isu perkauman dengan menyatakan di media-media sosial (tuduhan) polis hanya tangkap orang (mat rempit) dan serbu bengkel Melayu sahaja.

‘’Tindakan terhadap mat rempit dan bengkel-bengkel itu bukannya satu tindakan penguatkuasaan secara terpilih tetapi berdasarkan maklumat dan risikan yang kadang-kadang dikeluarkan oleh pelumba sendiri,‘’ katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.

Semalam, polis Pulau Pinang menjalankan serbuan di 21 bengkel kenderaan khususnya motosikal yang dipercayai terlibat dalam pengubahsuaian bagi kegiatan lumba haram atau samseng jalanan dan terdapat warga siber menuduh tindakan itu hanya dijalankan ke atas premis milik orang Melayu.

Terdahulu, Mohd Shuhaily mengadakan mesyuarat mengenai perancangan strategi memerangi lumba haram peringkat Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang bersama beberapa jabatan dan agensi antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata tindakan penguatkuasaan dan operasi yang dijalankan terhadap kegiatan lumba haram atau samseng jalanan itu tidak ada kena-mengena dengan mana-mana kaum, malah berdasarkan statistik polis majoriti pelumba adalah dalam kalangan Melayu.

“Orang Melayu majoriti mereka berlumba haram dan itu adalah kenyataan bukan kena-mengena dengan polemik kaum, namun berdasarkan statistik Januari hingga Ogos lepas ada juga empat orang Cina ditahan kerana terlibat dengan aktiviti ini, jumlah mereka adalah kecil,‘’ katanya.

Beliau berkata pemilik bengkel yang tidak terlibat dengan pengubahsuaian motosikal untuk kegiatan lumba haram atau samseng jalanan sebenarnya tidak perlu bimbang jika mereka tidak terlibat dengan aktiviti terbabit.

Dalam pada itu katanya, bagi mengekang aktiviti lumba haram di Pulau Pinang, pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa kerja pencegahan dan penguatkuasaan bersama beberapa jabatan dan agensi lain yang dipengerusikan oleh PDRM bersama JPJ.

“Jawatankuasa kerja pencegahan itu dianggotai oleh agensi serta jabatan antaranya Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Perpaduan Negeri, Universiti Sains Malaysia (USM), Pejabat Mufti dan lain-lain.

‘’Penguatkuasaan pula dianggotai oleh JPJ, PBT, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan lain-lain yang tujuan utama jawatankuasa kerja ini ialah memastikan aktiviti lumba haram dapat dibanteras di negeri ini,‘’ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image