BUKIT MERTAJAM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan Perintah Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) ke atas sebuah kilang kitar semula bateri kadmium dan litium yang beroperasi secara haram di Ara Kuda, di sini semalam.

Pengarahnya Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata dalam serbuan itu, pihaknya mendapati kilang berkenaan menjalankan aktiviti pengolahan dan pemerolehan kembali bateri kadmium serta litium terpakai tanpa mendapat lesen terlebih dahulu.

“Tindakan POK mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 diambil bagi menghentikan pencemaran serta-merta dari aktiviti pemanasan dan pembakaran buangan terjadual daripada terus berlaku yang seterusnya boleh mengakibatkan pencemaran udara,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menyita 250 bekas mengandungi buangan bateri litium dan kadmium terpakai daripada premis berkenaan.

Katanya berdasarkan sasatan awal, bahan buangan itu dibawa masuk melalui kargo udara dan penggunaan kargo tersebut dipercayai bagi mengelak pemeriksaan ketat kontena melalui jalan laut.

Sharifah Zakiah berkata premis itu dipercayai dimiliki oleh warga China dan pihaknya sedang mengesan individu tersebut untuk siasatan lanjut.

“JAS Pulau Pinang turut mengeluarkan 93 kompaun bernilai RM186,000 ke atas kilang itu atas kesalahan menjalankan pemerolehan kembali buangan terjadual bukan di premis yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005,“ katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab dalam melakukan jenayah alam sekitar atau pelanggaran Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image