KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merancang menjalin kerjasama strategik dengan bomba Thailand bermula awal tahun depan, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Beliau berkata kerjasama itu bagi memudahkan urusan sekiranya berlaku sebarang bencana, operasi dan kejadian membabitkan kawasan sempadan negara.

“Kerjasama secara tidak formal telah ada, malah banyak operasi bersama telah dilakukan namun kita (JBPM) ingin teruskannya sebagai perikatan rasmi. Bagaimanapun, perkara ini perlu dibawa ke Bahagian Undang-Undang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan terlebih dahulu.

“Kita turut merancang untuk mengadakan latihan bersama di Akademi JBPM membabitkan penyelamatan di air sebagai satu daripada langkah untuk memenuhi keperluan dalam Majlis Keselamatan Aktiviti Air,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kelantan di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JBPM Kelantan Jainal @ Zainal Madasin.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata JBPM bakal memiliki lima fire fighting boat bernilai RM17 juta bagi memantapkan operasi menyelamat.

“Saya difahamkan prototaip bot berkenaan dijangka siap pada Mac depan untuk digunakan di beberapa tempat memerlukan terutama di kawasan pantai dan sungai.

“Setakat ini, kita juga telah memohon kepada kerajaan untuk menambah 50 buah bot bagi kegunaan pada tahun depan. Sekiranya tidak dapat seperti yang diminta, kita berharap sekurang-kurangnya setiap negeri akan mendapat tambahan bot baharu,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image