MAKKAH: Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman mengesahkan terdapat jemaah haji negara yang mengalami dehidrasi akibat cuaca panas di Arab Saudi.

Tanpa mendedahkan jumlah jemaah terlibat, beliau berkata ia merupakan kes terpencil dan tidak serius.

“Mereka menghadapi dehidrasi bukan sehingga ke tahap strok haba, jadi apabila mereka balik ke hotel masing-masing dan ke klinik yang tersedia di setiap hotel (penginapan jemaah haji) di Madinah, mereka telah mendapatkan rawatan serta dinasihatkan untuk berehat.

“Selepas itu, dalam tempoh beberapa jam sahaja mereka telah pulih dan dapat melaksanakan ibadat serta aktiviti harian seperti biasa,” katanya kepada pemberita di sini.

Justeru, beliau menasihatkan jemaah haji yang berada di Makkah dan Madinah menjaga kesihatan supaya tidak terdedah dengan cuaca panas yang mencecah hingga 40 darjah Celsius.

Terdahulu, Syed Saleh menyambut ketibaan kumpulan pertama 284 jemaah haji Malaysia yang memasuki Makkah pada 3.30 petang semalam waktu tempatan, selepas berada enam hari di Madinah.

Turut hadir Pengerusi Mashariq, syarikat muassasah yang bekerjasama dengan Tabung Haji (TH) dalam mengendalikan jemaah bagi musim haji kali ini, Adnan Hussain Mandourah.

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata susulan pergerakan darat antara bandar melibatkan jemaah haji telah bermula, Tabung Haji (TH) mengaktifkan pasukan peronda lebuh raya yang akan memantau pergerakan bas serta memberikan perkhidmatan di kawasan rehat dan rawat (R&R).

“Pasukan kesihatan kita juga bersedia dengan ambulans untuk membantu para jemaah haji yang memerlukan bantuan rawatan sepanjang perjalanan di lebuh raya antara Madinah dan Makkah,” katanya.

Sementara itu, kumpulan pertama jemaah haji berkenaan menunaikan umrah kira-kira 9.30 malam pada Jumaat dengan dibimbing Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas). - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image