ANKARA: Jepun pada Rabu mendakwa China menghantar kapal negara itu ke perairan wilayahnya, di sekitar rantaian pulau yang dipertikai, lapor Agensi Anadolu.

Pegawai dari Pengawal Pantai Jepun berkata tiga kapal Pengawal Pantai China memasuki perairan wilayah negara itu berhampiran Kepulauan Senkaku di Laut China Timur.

Tokyo berkata ia merupakan pencerobohan ke-27 kapal China yang dikesan di perairan wilayah Jepun di luar pulau itu tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihiko Isozaki menyifatkan dakwaan pencerobohan itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan menyifatkannya “sesuatu yang amat dikesali dan tidak boleh diterima sama sekali,“ menurut Agensi Berita Kyodo.

Tokyo juga membuat bantahan terhadap Beijing berhubung pelanggaran undang-undang antarabangsa, kata Yoshihiko kepada pemberita.

Pengawal Pantai Jepun berkata ia melihat kapal-kapal China berhampiran pulau kecil di Laut China Timur sejak dua minggu lepas. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image