ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor merancang untuk membina zoo baharu berkeluasan 20.2 hektar di sini yang bakal menjadi tumpuan pelancong ke negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Bagaimanapun, beliau berkata ia masih di peringkat awal perbincangan.

Mohd Jafni berkata kerajaan negeri juga sedang melihat beberapa zoo yang menjadi tumpuan pelancong seperti Zoo Singapura, Zoo Melaka dan Zoo Taiping sebagai model untuk pembinaan zoo baharu.

“Untuk buat zoo baharu ini, ambil masa juga sebab (masih) di peringkat awal perbincangan. Ada beberapa proses sebelum sampai kepada proses peruntukan, peruntukan perlu disediakan dulu untuk bina satu zoo dengan kelengkapan.

“Seperti Zoo Johor ini, sudah tentu perlukan bajet besar dan kelulusan kerajaan negeri. Konsep yang boleh cadangkan, kita akan bawa pemaju atau agensi korporat sebagai sukarelawan atau untuk jaga binatang terutama bab pemakanan sebab kos operasi makanan haiwan memang tinggi “ katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Jafni berkata zoo berusia 94 tahun di Jalan Gertak Merah, Taman Istana di Johor Bahru yang kini dalam proses pembaikan akan dikekalkan.

“Zoo sedia ada ini akan dikekalkan, kerajaan negeri dalam proses menaik taraf dan membaik pulih fasiliti sedia ada. Ia adalah zoo yang tertua dan kerajaan negeri telah memperuntukkan RM250,000 untuk menukar semua paip lama dan proses tersebut sedang berjalan,“ katanya.

Zoo berkenaan telah ditutup sejak 18 Okt 2020 bagi membolehkan kerja menaik taraf kandang dan kelengkapan haiwan dilaksanakan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image