JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor berharap agar kerajaan pusat dapat mempertimbangkan untuk mewujudkan program Johor My Second Home (JM2H).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor (gambar) berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu mesyuarat bersama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, baru-baru ini.

Beliau berkata pelaksanaan dasar JM2H juga diharapkan dapat mengguna pakai syarat-syarat Malaysia My Second Home (MM2H) yang ditetapkan sebelum berlaku pertukaran kerajaan pada 2018.

“Dalam MM2H ketika ini, sebagai contoh syaratnya ialah seseorang itu ada simpanan RM1 juta, tetapi Filipina, Vietnam dan Indonesia tidak begitu.

“Selepas itu, di Johor pula kena tinggal sekurang-kurangnya tiga bulan, kita hendak jual hartanah dan (bawa) perniagaan masuk, jadi kena fleksibel sikit. Sebab itu kita bawa suara agar Menteri (Saifuddin Nasution) dapat bawa syarat asal sebelum 2018,” katanya di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pihak berkuasa tempatan (PBT) The Greater Johor Bahru bersama Persatuan Profesional Johor, Mohd Jafni berkata setakat ini, lambakan rumah di Johor adalah yang berharga RM500,000 ke atas dan 80 peratus daripadanya ialah pangsapuri perkhidmatan.

Justeru, beliau berkata kerajaan negeri meminta agar JM2H diwujudkan sekiranya kajian semula bagi melonggarkan dasar MM2H yang akan melibatkan seluruh negara, sukar untuk dilaksanakan.

“(Menerusi mesyuarat) menteri telah berkata bahawa perkara ini akan diperhalusi kerana MM2H melibatkan satu Malaysia, tetapi apa yang kita minta adalah yang melibatkan Johor sahaja...(kerana) jika perkara itu susah, kenapa tidak program itu dilaksanakan di Johor sahaja,” katanya.

Pada September tahun lepas, bekas Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah berkata Johor menjadi penyumbang tertinggi kepada lebih 34,000 kediaman siap dibina tidak terjual bernilai RM21.7 bilion yang direkodkan pada separuh pertama 2022.

Sementara itu, Mohd Jafni berkata MoU yang dimeterai empat PBT dengan sembilan persatuan swasta yang diwakili Persatuan Profesional Johor (Decco+) bertujuan menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang bagi memastikan agenda ‘Greater Johor Bahru’ dapat dilaksanakan.

Agenda Greater Johor Bahru itu katanya telah mula dilaksanakan sejak tahun lepas dan bertujuan menaikkan imej dan status bandar raya Johor Bahru sebagai sebuah metropolis.

“Agenda ini melibatkan 10 tonggak teras serta 147 inisiatif utama untuk dilaksanakan. Antaranya ialah koordinasi dan pemantapan sistem tadbir urus yang efisien dan berprestasi tinggi,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image