ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor sedang mempertimbangkan untuk mengetatkan garis panduan pembangunan kawasan lereng bukit dalam usaha menangani perubahan iklim yang boleh mengakibatkan bencana pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata buat masa ini terdapat garis panduan di peringkat Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetapi kini, ia tidak dipraktikkan di peringkat 16 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau menjelaskan pembangunan di bahagian atas dan lereng-lereng bukit, boleh mengancam kawasan perumahan dan kampung di bahagian bawah memandangkan pembangunan dalam kebenaran merancang (KM) hanya tertumpu kepada kawasan pembangunan.

Justeru, Mohd Jafni berkata pembangunan lain seperti pembesaran kolam takungan, longkang monsun dan pembetung juga tidak mengambil kira pembangunan semasa mahupun masa hadapan.

“Secara asasnya (garis panduan) ada, tetapi kalau melihat kepada projek-projek di lereng bukit ini mungkin apa yang dititahkan Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar), mungkin kita nak tengok dan diperketatkan.

“Dan titah DYMM Tuanku melihat kepada lereng-lereng bukit disebabkan mungkin perubahan cuaca yang melibatkan isu banjir pada masa akan datang, isu-isu pencemaran (juga), jadi isu-isu ini di peringkat saya akan tengok dan kita akan adakan bengkel (dengan PBT),” katanya.

Menurut Mohd Jafni penyelarasan perlu dibuat antara 16 PBT di Johor memandangkan terdapat perbezaan taraf, kerana ada PBT diklasifikasikan sebagai perbandaran, bandar raya dan daerah.

“Daripada bengkel yang kita buat, kita hendak tengok prosedur operasi standard (SOP) yang sekarang mereka praktikkan di setiap PBT. Lepas tu, kita akan rumuskan di mana perbezaan dan selaraskan di situ,” katanya.

Beliau turut memberi contoh penyelarasan yang telah dibuat antara PBT termasuk kelulusan lesen penjaja selain yang akan dibuat termasuk pelaksanaan CCTV pintar dan parkir pintar.

Ketika titah perasmian pembukaan penggal persidangan kedua DUN Johor Khamis lepas, Sultan Ibrahim mengingatkan semua PBT agar memastikan setiap pembangunan di kawasan berbukit atau tanah tinggi, mestilah mengekalkan keadaan topografi asal tanah seberapa yang boleh.

Baginda bertitah pihak pemaju tidak wajar dibenarkan untuk meratakan permukaan tanah kesemuanya dan jika kerja pemotongan bukit perlu dibuat, ia mesti dikawal dan dilakukan secara minimum.

Justeru, Sultan Johor mahu Datuk Bandar dan Yang Dipertua semua PBT di negeri itu menyelidik dahulu sebelum betul-betul meluluskan semua pelan kerja tanah melibatkan pembangunan di kawasan berbukit atau tanah tinggi. - Bernama