JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri tidak menolak Enakmen Anti-Lompat Parti seperti yang didakwa beberapa pihak, sebaliknya menolak cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menjalankan kajian dan cadangan terhadap enakmen berkenaan.

Beliau berkata ini kerana semua pihak di peringkat kerajaan negeri tidak mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti.

“Tetapi pembangkang mahu buat jawatankuasa, kerana mereka nak mengelirukan rakyat supaya (dilihat seperti) kerajaan negeri tidak mahu buat (enakmen) anti-lompat parti, itu satu perkara (yang) cukup tidak bertanggungjawab,“ katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Johor (KMJ) 2021/2022 di sini malam tadi.

Onn Hafiz berkata keputusan menolak rundingan mengenai cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas itu adalah kerana Rang Undang-Undang Anti-Lompat sudah dibincangkan di peringkat Persekutuan dan akan mengikut proses seterusnya.

Semalam, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menolak rundingan mengenai cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menjalankan kajian dan cadangan terhadap Enakmen Anti-Lompat Parti.

Speaker DUN Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dilaporkan berkata rundingan itu tidak dipersetujui selepas undian dijalankan semasa Mesyuarat Ketiga Persidangan Pertama DUN ke-15 di Iskandar Puteri, semalam.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata barisan kepimpinan kerajaan negeri perlu menjaga imej baik dan sekiranya tercemar ia mempengaruhi kemasukan pelaburan asing justeru media memainkan peranan amat penting menyampaikan berita sahih dan tidak memberi fakta seolah-olah kepimpinan kerajaan negeri tidak amanah.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image