SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan merekodkan 2,337 kesalahan membabitkan 1,189 kenderaan sepanjang penguatkuasaan Operasi Tahun Baharu Cina (Ops TBC) 2023 dalam tempoh 10 hari, sejak 18 Jan lepas.

Pengarahnya Hanif Yusabra Yusuf berkata ia hasil pemeriksaan ke atas 13,041 kenderaan dan antara kesalahan terbabit adalah tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, gagal mematuhi lampu isyarat merah dan memotong di garisan berkembar.

“Sepanjang tempoh berkenaan, JPJ negeri turut melaksanakan tujuh strategi penguatkuasaan antaranya pemeriksaan bas di depoh dan terminal, rondaan di lebuh raya dan jalan utama serta penguatkuasaan motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 5,181 motosikal diperiksa dengan 579 daripadanya diambil tindakan manakala 96 lagi disita mengikut peruntukan Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengelak daripada melakukan kesalahan berterusan.

Hanif Yusabra berkata penguatkuasaan khas motosikal itu bertujuan memastikan penunggang dan motosikal yang digunakan di atas jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah APJ 1987 dan Kaedah-kaedah di bawahnya.

“Ia juga bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng dengan tumpuan di laluan utama motosikal di Seremban dan Nilai serta memfokuskan kesalahan lesen memandu, LKM dan teknikal,” katanya.

Beliau berkata pihaknya memandang serius kesalahan melibatkan penunggang motosikal dan selain penguatkuasaan, JPJ negeri juga giat melaksanakan advokasi bagi memberi kesedaran berkaitan pematuhan peraturan lalu lintas serta keselamatan di jalan raya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image