PADANG BESAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita tujuh kenderaan dipandu pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) menerusi Op Pemandu Warga Asing (Op PeWA) yang bermula 1 April lepas hingga hari ini.

Pengarah JPJ Perlis Fatimah Mohamed Ali Piah berkata pihaknya turut mengeluarkan saman ke atas individu terlibat yang terdiri daripada enam warga Myanmar dan seorang warga Pakistan berikutan memandu kenderaan tanpa lesen.

“Sitaan itu melibatkan tiga motosikal, tiga kereta serta sebuah lori dan tindakan diambil mengikut Seksyen 26(1) dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“JPJ turut mengeluarkan notis saman kepada pemilik kenderaan warga tempatan yang membenarkan kenderaan mereka dipandu warga asing tanpa lesen memandu,“ katanya selepas Op PeWA Bersepadu yang dilaksanakan di Bulatan Padang Besar hari ini..

Mengulas mengenai operasi dilaksanakan hari ini, Fatimah berkata sebanyak 33 kenderaan warga asing disaman atas pelbagai kesalahan antaranya melibatkan insurans dan nombor pendaftaran.

Katanya, JPJ turut mengingatkan pemilik kenderaan tempatan agar tidak menawarkan perkhidmatan sewaan kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen sah bagi mengelakkan tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.

“Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan didenda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan menjalankan perkhidmatan sewa pandu tanpa permit,“ katanya. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image