TAWAU: Sebuah syarikat dan pengarahnya hari ini masing-masing didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, kerana menjual walkie-talkie tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membuat keputusan itu, selepas Syarikat Best Secure & Automation Sdn Bhd dan Pengarahnya Liau King Choi selaku Orang Kena Saman, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah juga memerintahkan Liau, 46, dipenjara dua bulan bagi setiap denda berkenaan jika gagal bayar. Beliau membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, syarikat dan pengarah terbabit didakwa menjual kelengkapan komunikasi iaitu dua walkie talkie jenama Kenwood model 520D, yang tidak diperakui oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di TB17396-0 Lot 24, Tingkat Bawah Blok G, Kubota Square, Jalan Kubota di sini pada 11.30 pagi, 10 Jun 2020.

Syarikat terbabit dan pengarahnya didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Peraturan 16 (1)(b) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dibaca bersama Peraturan 16 (3) Peraturan-peraturan sama.

Selahan itu boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-peraturan sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah turut memerintahkan pelucutan hak barang kes kepada MCMC.

Mengikut fakta kes, seorang lelaki membeli dua unit walkie-talkie berkenaan dengan harga RM680 daripada syarikat terbabit dan alat komunikasi itu dihantar ke SIRIM untuk pemeriksaan frekuensi radio, Electromagnetic Compability Test (EMC) serta ujian keselamatan, namun kesemua ujian itu gagal.

SIRIM juga mendapati alat komunikasi itu tidak diperakui pihaknya, selain hasil siasatan mendapati ia juga tidak diperakui MCMC atau mana-mana agensi pemerakuan berdaftar lain.

Orang Kena Saman diwakili peguam Voo Vun Han manakala kes pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa MCMC Nur Nazhzilah Mohammad Hashim. - Bernama