KOTA BHARU: Kerajaan akan mewujudkan pelbagai medium untuk memudahkan masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan situasi inflasi ketika ini termasuk kenaikan harga barangan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata pihaknya kini sedang meneliti kaedah komunikasi yang lebih berkesan untuk tindakan itu sama ada mewujudkan laman web, talian pengaduan, rangkaian penguatkuasaan atau sebagainya.

Beliau berkata setakat ini pihaknya telah menerima pengesyoran untuk memudahkan 1,800 anggota komuniti Keluarga Malaysia dapat menyemak suasana kenaikan harga di peringkat akar umbi di seluruh negara.

“Semasa tinjauan saya di beberapa pasar, saya dapati ada beberapa pembeli telah menyuarakan pandangan mereka mengenai kekurangan maklumat mengenai harga semasa barangan seperti ayam.

“Kita akan berbincang untuk mewujudkan beberapa medium seperti laman web, ‘hotline’ (talian penting) dalam mesyuarat jawatankuasa yang akan datang supaya orang ramai boleh melihat perkara yang dilakukan kerajaan selain dapat mengutarakan pandangan mereka,“ katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barangan makanan di Pasar Besar Siti Khadijah di sini hari ini.

Annuar berkata tindakan kerajaan untuk melakukan intervensi dengan memberikan subsidi dan menetapkan harga siling terhadap ayam mentah memberi kesan yang sangat baik.

Menurut Annuar, beliau mendapati hasil bekalan ayam mentah adalah mencukupi selain rata-rata peniaga mengikut harga siling ditetapkan sekali gus situasi seakan kembali seperti sediakala.

“Kita harap situasi ini berkekalan sementara kita akan tambah baik lagi. Bagaimanapun, kerajaan akan meneliti secara terperinci terutama membabitkan industri bekalan ayam untuk memastikan bekalan ayam mentah sentiasa mencukupi berdasarkan permintaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata pihaknya mengesan berlaku penyelewangan bekalan minyak masak bersubsidi sehingga ada yang menjual secara dalam talian.

“Kita tahu minyak bersubsidi kini kurang bekalan di pasaran. Malah, tiga hari lepas kita mengesan minyak ini dijual secara dalam talian termasuk platform jualan dalam talian dan sebagainya.

“Bagi minyak masak bukan bersubsidi pula, harga jualannya bebas dalam pasaran memandangkan ia bergantung kepada harga sawit dunia. Kerajaan tidak boleh buat intervensi itu sebab orang ramai ada pilihan untuk memilih minyak murah (minyak bersubisidi),“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image