JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan melihat keperluan untuk menambah baik kebajikan serta keselesaan pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing dengan mewujudkan tempat atau ruang rehat kepada golongan berkenaan di bandar raya itu pada masa hadapan.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata pihaknya akan berbincang dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi tujuan itu.

Beliau berkata pihaknya akan turut mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menilai semula lokasi sesuai sebelum ia dibina di setiap kawasan.

“Saya akan adakan perbincangan bersama IRDA agar dapat menambah baik kebajikan e-hailing dan p-hailing, mungkin dengan menyediakan kemudahan seperti ruang rehat yang selesa dan selamat kepada golongan tersebut.

“Dengan adanya ruang rehat itu nanti, sudah tentu membolehkan mereka seperti bersolat atau membersihkan diri,“ kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan AirAsia Super App di sini, hari ini. Sementara itu, Hasni berkata inisiatif AirAsia mewujudkan aplikasi tersebut juga dilihat sebagai satu bentuk aktiviti ekonomi yang dapat membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Perniagaan penghantaran di bawah Airasia Super App termasuk perkhidmatan penghantaran makanan, barangan runcit, e-panggilan dan penghantaran barangan ekspres atas permintaan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image