HANOI: Status Vietnam sebagai tuan rumah dan juga juara bertahan tidak menggentarkan barisan pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan menjelang aksi separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 di Stadium Viet Tri di wilayah Phu Tho, malam esok.

Ketua pasukan, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi berkata perkara itu tidak menjejaskan semangat dan keazaman tinggi rakan sepasukannya untuk menyaingi kehebatan skuad bimbingan Park Hang Seo dalam memburu tempat ke final.

Katanya, prestasi pasukan sepanjang kempen Kumpulan B yang menyaksikan Malaysia menamatkan saingan selaku naib juara meskipun berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah, tidak boleh menjadi ukuran pada perlawanan esok.

“Bagi saya perlawanan separuh akhir adalah berbeza dengan saingan kumpulan kerana semangat dan keyakinan kita berbeza. Insya-Allah saya percaya dengan rakan sepasukan dan kita boleh beri kejutan kepada rakyat Malaysia.

“Kami mengharapkan sokongan semua pihak dan dengan doa ibu bapa kami serta rakyat Malaysia kami boleh buat yang terbaik untuk negara. Kami akan berikan segalanya untuk layak ke final,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Sementara itu, pada sidang media praperlawanan hari ini, ketua jurulatih B-23 negara Brad Maloney berhasrat untuk membimbing pasukan itu melangkah lebih jauh dalam pertandingan kali ini.

Malah, beliau turut berharap anak buahnya dapat mengelak daripada penentuan sepakan penalti pada pertembungan esok.

“Sudah tentu kita mahu melangkah lebih jauh kali ini dan saya rasa tiada pemain yang mahu bermain lebih daripada 90 minit perlawanan,” katanya.

Mengulas mengenai kekuatan Vietnam, Maloney berkata skuad bimbingan Hang Seo diperkuatkan oleh tiga pemain senior di samping ramai pemain berkualiti, tapi beliau yakin barisan pemain negara mampu menghadapinya.

“Kita adalah pasukan termuda dalam separuh akhir jadi kita perlu berikan yang terbaik

“Kami adalah pasukan termuda dalam separuh akhir ini jadi kami perlu berada pada tahap terbaik dan kami menyedari beberapa teknik permainan ada padapasukan Vietnam yang perlu kami hadapi esok tetapi pemain saya sudah bersedia dengan baik,” katanya.

Perlawanan esok ibarat ulangan aksi separuh akhir edisi 2005 di Filipina yang menyaksikan pasukan lawan menang 2-1 dan skuad kebangsaan menamatkan saingan dengan meraih pingat gangsa selepas menewaskan Indonesia 1-0 pada perlawanan penentuan tempat ketiga.

Malaysia juga terkandas di tangan Vietnam pada peringkat sama edisi 2003 di sini selepas tumbang 3-4 dan turut membawa pulang gangsa dengan mengatasi Myanmar.

Namun, dendam dua kekalahan itu berjaya dilunaskan apabila Malaysia mengecewakan Vietnam 1-0 di pentas final untuk merangkul emas edisi 2009 di Laos.

Dalam pada itu, satu lagi aksi separuh akhir esok menyaksikan Thailand akan membuat perhitungan menentang Indonesia di Stadium Thien Truong di wilayah Nam Dinh. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image