PASIR MAS: Penduduk di Kampung Tersang, Rantau Panjang, dekat sini, melahirkan rasa bimbang berikutan kampung mereka kembali digenangi air sejak semalam, akibat pertembungan air Sungai Lanchang dengan Sungai Golok.

Buruh binaan Mohd Shahrul Fahmi Rosli, 26, berkata hujan lebat pada Jumaat lalu menyebabkan paras air kedua-dua sungai naik.

Beliau berkata keadaan bertambah buruk, apabila aliran air dari Sungai Lachang tidak dapat mengalir dengan baik ke Sungai Golok, akibat pembinaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN).

“Air naik separas pinggang orang dewasa di kawasan halaman rumah sejak pagi semalam. Ini banjir keempat yang terpaksa kami hadapi sejak Februari, November dan Disember tahun lalu,” katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati, penduduk sudah meletakkan kenderaan mereka di sepanjang jalan raya di kampung tersebut, bagi mengelakkan rosak akibat banjir termenung.

Mohd Shahrul berkata penduduk bingung memikirkan nasib mereka berikutan kesan banjir yang dialami pada Disember lalu, masih belum pulih dan kini berlaku pula banjir termenung.

“Tanah masih belum kering kesan banjir lalu, kini kami sekali lagi terpaksa ‘bermain’ air banjir, ia sangat meletihkan kami semua.

“Kebiasaannya banjir termenung ini akan berlaku dalam tempoh seminggu sebelum kembali surut,” katanya.

Bagi Khairul Annuar Mohammad, 39, dia sekeluarga masih belum hilang penat membersihkan rumah akibat banjir yang berlaku Disember lalu.

“Tidak sampai sebulan banjir lagi kampung kami. Kesan banjir sebelum ini pun belum dapat dibersihkan sepenuhnya,” katanya.

Penoreh getah Abdullah Che Kub, 71, berharap pihak bertanggungjawab segera mencari jalan penyelesaian, bagi menangani masalah banjir yang dihadapi mereka.

“Mana tidak penat dalam setahun kami terpaksa menghadapi tiga hingga empat kali banjir. Sudah puluhan ribu kerugian yang kami terpaksa tanggung.

“Harap perkara ini dapat diatasi dengan segera oleh pihak berwajib, kesian dengan penduduk di kampung ini,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image