JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun sembilan bulan maut dipercayai didera rakan bapa dan pembantu rumah warga asing dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Ria 2, Taman Skudai, di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata kejadian berlaku di rumah rakan lelaki bapa mangsa berusia 28 tahun, manakala pembantu rumah wanita warga Indonesia berusia 40 tahun.

Beliau berkata bapa mangsa meminta bantuan daripada suspek lelaki yang merupakan seorang jurujual untuk menjaga dua anak mereka termasuk mangsa sejak tiga bulan lepas.

“Bapa mangsa yang bekerja di Singapura dan ibu bekerja di Yong Peng telah meninggalkan dua anak mereka di rumah rakan dengan bayaran RM2,800 sebulan sejak tiga bulan lepas.

“Hasil siasatan awal, kita dapati terdapat beberapa kecederaan di badan mangsa, begitu juga lebam dan sedikit luka, bagaimanapun, kita tunggu laporan menyeluruh selepas bedah siasat,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini, semalam.

Menurutnya, suspek lelaki itu, yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, dan pembantu rumah itu telah ditahan di lokasi kejadian pada tengah hari tadi.

“Dalam kes ini, kita akan dapatkan keterangan daripada beberapa pihak dengan turut dibantu oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lokasi kejadian,“ katanya sambil menambah waktu kejadian masih dalam siasatan.

Kamarul Zaman menjelaskan adik mangsa yang berusia setahun dan belum dipastikan jantinanya bagaimanapun, terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat, manakala permohonan reman kedua-dua individu itu akan dibuat esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image