KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menahan tiga kontena berisi rokok dan minuman keras bernilai RM1.24 juta dalam dua serbuan berasingan di Pelabuhan Sepanggar di sini bulan ini.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah Cheong Yu Min berkata kontena itu berisi 10.2 juta batang rokok putih dan 52,272 liter minuman keras pelbagai jenama melibatkan duti dan cukai berjumlah RM7.64 juta.

Beliau berkata serbuan pada 10 Sept dan Ahad lepas (18 Sept) itu dibuat cawangan siasatan khas JKDM dengan kerjasama cawangan import eksport Pelabuhan Sepanggar serta cawangan operasi, marin dan khidmat sokongan, berdasarkan hasil penilaian risiko dan imej imbasan mesin pengimbas yang meragukan.

“Bagi kes pertama, pegawai serbuan menahan sebuah kontena dianggarkan mengandungi 10.2 juta batang rokok putih; manakala kes kedua pula membabitkan dua lagi kontena dianggarkan mengandungi 52,272 liter minuman keras jenis bir pelbagai jenama disyaki barang larangan yang cuba diseludup masuk.

“Semua rokok tersebut dianggarkan bernilai RM980,000 manakala anggaran nilai duti dan cukai RM6.82 juta; sementara minuman keras pula dianggarkan bernilai RM261,360 dengan anggaran nilai duti dan cukai terlibat adalah RM816,750,“ katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Cheong berkata modus operandi bagi kes itu adalah mengikrar dagangan import dengan barang lain bertujuan menyeludup bagi mengaburi pihak berkuasa, dan kesemua kontena dipercayai dari luar negara.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135 (a) Akta Kastam 1967 dan akan disusuli dengan tangkapan individu terlibat selepas siasatan lebih menyeluruh.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dalam aktiviti penyeludupan selain menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat sekiranya mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyeludupan, katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image