SEARCH

Kaunter zakat Baitulmal MAIWP dibuka seperti biasa sepanjang PKPB

14 Oct 2020 / 18:28 H.

KUALA LUMPUR: Kaunter zakat Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini sehingga 27 Okt.

MAIWP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kaunter Baitulmal di ibu pejabatnya di Bangunan Perkim dan sembilan Pusat Agihan Zakat (PAZA) Baitulmal yang terletak di sekitar Kuala Lumpur beroperasi mulai 8.30 pagi hingga 4 petang bagi urusan berkaitan zakat.

“Kaunter beroperasi pada Isnin hingga Jumaat kecuali PAZA di UTC Pudu dan UTC Keramat yang beroperasi setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad,“ menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut MAIWP akan sentiasa memastikan pematuhan terharap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti penggunaan pelitup muka, penjarakan fizikal dan penggunaan cecair pembasmi kuman semasa berurusan di kaunter.

Selain itu, bagi memudahkan penerima Bantuan Zakat Kewangan Bulanan dan Bantuan Zakat Sewa Rumah yang akan tamat pada Oktober dan November tahun ini, bantuan tersebut akan disambung secara automatik tanpa memerlukan asnaf hadir ke kaunter bagi proses penyambungan.

“Perkara ini akan memberi manfaat kepada hampir 5,000 penerima bantuan,“ katanya.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mereka yang terjejas dan mengalami kesusahan di kawasan Wilayah Persekutuan terutama dalam tempoh PKPB supaya melaporkannya kepada MAIWP.

Laporan boleh dibuat melalui aplikasi telefon pintar Mobil Jejak Asnaf bagi memudahkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP turun padang membantu mereka yang terjejas. — Bernama

email blast