BACHOK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa hilang dalam tragedi bot terbalik dan karam di perairan Bachok yang memasuki hari keenam hari ini akan diperluaskan kepada 450 batu nautika persegi dari tempat kejadian.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata dalam operasi SAR semalam, pasukan pencarian masih gagal mendapat petunjuk lokasi kedua-dua mangsa iaitu Arman Ismail, 43, dan Che Wadi Bakar, 40-an.

“Hari ini operasi SAR telah disambung semula pada 7 pagi tadi melibatkan 81 pegawai dan anggota membabitkan pelbagai agensi dengan menggunakan kaedah pencarian berpandukan sistem SAROPS (sistem pencarian dan penyelamat optimal).

“Arus pencarian operasi ini juga masih dikekalkan iaitu menghala ke arah Pulau Perhentian dan sektor yang dirasakan logik dengan menggunakan 15 aset daripada semua agensi SAR terbabit. Malah, sehingga kini pasukan pencarian serta para nelayan dan pemancing yang turut membantu masih gagal mendapat petunjuk lokasi kedua-dua mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Setakat ini, dalam tragedi bot terbalik berhampiran perairan Kuala Kemasin pada Isnin lalu, enam mangsa yang meninggal dunia telah ditemukan iaitu Mohd Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an, seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an, Ahmad Syafiq Che Alim, 30 dan Harun Daud, 57.

Sementara itu, 12 daripada 20 mangsa pula selamat dalam kejadian tersebut, dengan kesemua mangsa berusia antara 18 hingga 60 tahun. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image