KOTA KINABALU: Badik adalah sejenis senjata ikonik tradisional digunakan masyarakat nusantara sejak sekian lama terutama suatu ketika dahulu untuk mempertahankan negara daripada penjajah serta anasir yang menggangu gugat keamanan serta kedaulatan.

Justeru, amat cocok apabila Kapal Misi Persisir (LMS) ketiga negara iaitu KD Badik, yang ditauliahkan hari ini, mengambil nama serta semangat senjata itu bagi mempertahankan ‘samudera raya’ negara dan rakyat secara keseluruhan daripada anasir tersebut.

Panglima Tentera Laut Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany menyempurnakan pentauliahan KD Badik yang diketuai pegawai pemerintahnya Kdr Mohd Sharedzwan Saharudin di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di sini hari ini.

Mohd Reza berkata KD Badik bernaung di bawah Markas Pemerintahan Armada Timur dan diletakkan di bawah Skuadron LMS ke-11 TLDM di pangkalan tersebut bersama dua lagi kapal LMS negara iaitu KD Keris dan KD Sundang.

Beliau berkata kehadiran KD Badik, yang mula dibina 18 Sept 2019 di China dan diserah kepada Kerajaan Malaysia pada 14 Sept 2021, akan meningkatkan kemampuan armada TLDM dalam memelihara kedaulatan maritim negara.

“Kapal LMS ini dilihat lebih sesuai beroperasi di perairan ini (perairan Markas Pemerintahan Armada Timur) dan kapal LMS ini memenuhi tugasan diperlukan TLDM, selain tiga ini kita ada satu lagi kapal LMS dijadual terima Disember ini.

“LMS keempat ini telah siap, kita sedang lakukan latihan dan selepas habis latihan kita bawa balik, kapal itu kita akan namakan Rencong, nama kapal ini juga kapal yang telah dilucut tauliah seperti Badik, Rencong kita guna semula bagi mengingati jasa kapal itu,“ katanya pada sidang media selepas majlis tersebut.

Beliau berkata KD Badik mula belayar pulang pada 18 Sept lepas dari China dan setelah menempuh pelayaran sejauh 1,836 batu nautika, tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 25 Sept lepas, sebelum ditauliahkan hari ini.

Ditanya tentang keperluan strategik meletak squadron kapal LMS itu di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan bukan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, Mohd Reza berkata ia sebahagian persediaan TLDM untuk berdepan ancaman mendatang.

“Ancaman itu kita kena bersedia, sepanjang masa kena bersedia, mana ada negara yang tidak bersedia menghadapi ancaman, saya tidak bolehlah nyatakan apa ancaman itu tetapi ancaman itu boleh datang bila-bila masa, sama ada ancaman kita tahu atau tidak tahu,“ katanya.

Beliau berkata selain kapal LMS, TLDM dijadual menerima dua helikopter jenis AW139 awal tahun depan dan juga akan ditempatkan di Pangkalan TLDM Kota KInabalu bagi membantu operasi TLDM di kawasan tersebut. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image