KUALA LUMPUR: Setelah lebih seminggu menyaksikan atlet berhempas pulas menampilkan aksi terbaik di gelanggang pertandingan, temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 melabuhkan tirai malam tadi dengan kejutan terbesar apabila Johor dinobatkan johan keseluruhan buat kali pertama.

Kejayaan sulung Johor muncul juara dengan melepasi sasaran awal 40 pingat emas dengan mengaut 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa menyaksikan kontinjen itu muncul kuasa baharu Sukma selepas mula dianjurkan pada 1986, selepas didominasi juara sembilan kali Selangor, Terengganu (lima), Sarawak (tiga) dan Wilayah Persekutuan (dua).

Dua atlet Johor iaitu Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize, 21, dari sukan kanu serta perenang berusia 16 tahun, Tan Rouxin masing-masing melengkapkan kejayaan gemilang kontinjen selatan tanah air itu selepas merangkul gelaran atlet terbaik lelaki dan wanita Sukma kali ini, sekali gus menjadi permata baharu sukan negara tidak lama lagi.

Bukan sahaja menggondol lapan emas malah Muhammad Fakhrullah turut memecahkan dua rekod kebangsaan acara K2 500 meter (m) dengan catatan baharu satu minit 43.045 saat (s) serta K2 1000m (3:35.500s) manakala Rouxin menampilkan menguasai kolam renang dengan enam emas, satu perak dan satu gangsa.

Lebih menarik, Ketua Kontinjen Johor, Datuk Mohamad Najib Samuri ketika ditemui pada majlis penutup melaungkan amaran awal dengan memaklumkan mereka mengintai untuk mengumpul 70 emas dalam usaha meraih gelaran juara keseluruhan buat kali kedua berturut-turut.

Biarpun ditangguhkan selama empat tahun susulan pandemik COVID-19, secara keseluruhan prestasi 6,643 atlet yang menyertai 31 jenis sukan agak memberangsangkan apabila sebanyak 21 rekod kebangsaan berjaya dipecahkan.

Daripada jumlah tersebut, atlet sukan kanu nampaknya menghasilkan dayungan cemerlang dengan melebur 13 rekod kebangsaan diikuti menembak (lima), berbasikal (dua) dan akuatik (satu).

Pencapaian membanggakan sukan kanu secara tidak langsung membuktikan perhatian lebih seharusnya perlu diberikan Majlis Sukan Negara (MSN) selepas ini dalam usaha menggilap bakat baharu yang berpotensi mengharumkan nama negara dalam mana-mana kejohanan mahupun temasya sukan antarabangsa kelak.

Kelibat beberapa jaguh utama seperti pemegang rekod 100m kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dari sukan olahraga, pemenang pingat perak perseorangan lelaki Sukan Komanwel, Ng Tze Yong dari badminton serta juara menembak Sukan SEA-2021, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin, nyata tidak menghampakan.

Muhammad Azeem yang mewakili Perak menepati ramalan muncul raja pecut Sukma dengan catatan 10.25s manakala Tze Yong walaupun kurang sihat unggul menewaskan pemain Wilayah Persekutuan, Leong Jun Hao, 18-21, 21-19, 21-12 untuk menyumbang emas buat Johor dan Nurul Syasya, juga dari Johor, pula membidik empat emas.

Walaupun mengambil alih hak penganjuran Sukma daripada Johor, pujian wajar diberikan kepada MSN kerana berjaya memastikan temasya sukan tersebut yang berlangsung di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan juga Pulau Langkawi, Kedah, berjalan lancar.

Tidak dilupakan, pembabitan wira tidak didendang 670 sukarelawan dikenali ‘Satria Sukan Malaysia’ dari pelbagai latar belakang termasuk pelajar institusi pengajian tinggi, penjawat awam serta pekerja swasta yang menjadi tunjang kekuatan perjalanan temasya ini seharusnya dihargai semua pihak.

Bagaimanapun, penganjuran Sukma juga tidak lekang daripada sebarang kontroversi antaranya melibatkan sukan bola sepak, angkat berat dan berbasikal.

Daripada tindakan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menarik diri mengendalikan sukan angkat berat susulan isu doping sehingga insiden seorang pegawai mengejar pengadil pada aksi separuh akhir bola sepak lelaki, kesemuanya harus dijadikan teladan pihak terlibat agar perkara sedemikian dapat dielakkan pada masa depan.

Selepas ini, tumpuan pastinya beralih kepada persiapan penganjur seterusnya, dengan Johor dilaporkan bersedia menjadi tuan rumah, dalam memastikan legasi Sukma dapat diteruskan sebaiknya dalam masa dua tahun dari sekarang.

Persoalannya, mampukah Johor sekali lagi ‘meluaskan kuasa’ dengan mempertahankan mahkota kejuaraan Sukma diraih kali ini?

Sama-sama kita nantikan pada edisi ke-21! - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image