KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia yang merupakan mangsa kemalangan jalan raya di Muzdalifah, Arab Saudi pada Khamis lepas masih lagi menerima rawatan di Mekah.

Menurut Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) di Jeddah menerusi satu kenyataan di Facebook, mangsa dinasihatkan untuk terus mendapatkan rawatan susulan atas nasihat doktor serta permintaannya sendiri.

“KJM Jeddah akan terus menghulurkan bantuan konsular terhadap mangsa insiden ini dan mendoakan agar beliau akan segera pulih. InsyaAllah,” menurut kenyataan itu.

Seorang lagi mangsa telah dihantar pulang ke Malaysia dengan penerbangan Saudia Airlines pada awal pagi 14 Jun.

Kementerian Luar pada minggu lepas mengesahkan insiden kemalangan melibatkan bas pekerja dinaiki 15 rakyat Malaysia yang bekerja di sebuah syarikat pembinaan yang terlibat dengan projek landasan dan perkhidmatan kereta api di Mekah.

KJM berkata susulan kejadian itu, pihaknya telah melawat dua orang mangsa tersebut yang masing-masing dirawat di Hospital An Nur dan King Faisa Hospital di Mekah. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image