KUANTAN: Bendera negeri Pahang di semua premis kerajaan negeri dan Persekutuan akan dikibarkan separuh tiang selama lima hari bermula hari ini, sebagai tanda berkabung atas kemangkatan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan UAE telah banyak membantu Pahang dalam aspek kemanusiaan dan kebajikan rakyat, menyebabkan pemergian Almarhum amat dirasai.

“Mewakili kerajaan Pahang, saya merakamkan ucapan takziah dan berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama golongan beriman dan beramal soleh,“ katanya menerusi kenyataan dimuat naik di akaun rasmi Facebook beliau.

Presiden UAE yang memerintah sejak 2004 itu meninggal dunia pada usia 73 tahun, dan istiadat penghormatan terakhir Almarhum Sheikh Khalifa dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image