KUALA LUMPUR: Kenyataan Duta Khas Perdana Menteri ke China Datuk Seri Tiong King Sing mengenai lawatan kontroversi Speaker Dewan Rakyat AS Nancy Pelosi ke Taiwan tidak menggambarkan pendirian Kementerian Luar, kata Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

“Itu bukan kenyataan yang dibincangkan dengan Wisma Putra (Kementerian Luar Malaysia),” kata Menteri Luar kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk ‘Genta Telah Berbunyi’ ditulis oleh Raja Ahmad Aminullah, di sini, Sabtu.

Saifuddin berkata beliau telah menyatakan pandangannya mengenai perkara itu semasa Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) ke-55 dan Mesyuarat Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada 3 Ogos.

Menteri-menteri luar ASEAN dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu menyuarakan kebimbangan mereka akan perkembangan serantau terbaharu itu.

Mereka memberi amaran keadaan tidak menentu yang berlaku kerana ketegangan di Selat Taiwan boleh menjejaskan kestabilan serantau dan membawa kepada “kesilapan perhitungan, konfrontasi serius, konflik terbuka dan akibat yang tidak dapat dijangka di kalangan kuasa-kuasa besar”.

Kenyataan itu meminta semua pihak supaya bertenang dan elakkan daripada tindakan provakasi dan berpegang kepada prinsip-prinsip Piagam Bangsa-bangsa Bersatu dan Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia (TAC).

Kenyataan itu berkata negara anggota ASEAN mengulangi sokongan mereka terhadap Dasar Satu China dan ia bersedia memainkan peranan yang membina dalam memudahkan dialog aman antara pihak terbabit.

Media tempatan melaporkan bahawa Tiong dalam satu kenyataan pada Jumaat mengecam lawatan Pelosi ke Taiwan kerana ia telah menambah bahan api kepada ketidakstabilan di rantau itu.

Beliau dilaporkan berkata bahawa lawatan Pelosi melanggar prinsip ‘Satu China’ dan ‘Three Joint Communiqués’ yang menggariskan tatacara hubungan antara AS dan China.

Ketegangan antara China dan Amerika Syarikat memuncak selepas Pelosi tiba di Taiwan pada Selasa.

Pelosi merupakan ahli politik AS paling kanan untuk melawat negara pulau itu dalam tempoh 25 tahun. China menganggap pulau dengan pemerintahan tersendiri itu sebagai wilayahnya di bawah dasar Satu China.

Taiwan bagaikan dikepung dengan China melakukan latihan ketenteraan besar-besaran selepas Pelosi meninggalkan pulau itu pada Rabu. Media antarabangsa melaporkan bahawa tentera China digerakan ke perairan Taiwan sehingga menutup laluan. - Bernama