IPOH: Keputusan untuk menerima pimpinan Umno yang dipecat jika mereka mahu menyertai parti dalam Pakatan Harapan (PH) akan mengambil kira pandangan pimpinan setiap parti komponen dalam gabungan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH berkata perkara itu juga perlu menjaga kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ia perlu menjaga kerukunan, kedamaian dan perpaduan Kerajaan Perpaduan, kita akan beri pertimbangan yang lebih luas,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di sini hari ini.

Pada Jumaat, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada Umno.

Keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno itu turut menyaksikan Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Maulizan Bujang digantung keahlian selama enam tahun.

Turut digantung keahlian ialah Ahli Parlimen Jempol Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan bekas Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan.

Anwar berkata setakat ini masih tiada bekas pimpinan Umno yang dipecat menyatakan hasrat untuk bersama PH. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image