PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan bahawa kebenaran khas diberikan untuk pengeksportan beberapa komoditi berasaskan ayam berkuat kuasa serta merta, umum Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) hari ini.

MAFI dalam kenyataan hari ini berkata kebenaran khas itu hanyalah untuk ayam daging berwarna termasuk ayam kampung dan ayam hitam; semua produk berasaskan ayam, dan Day Old Chick (DOC) Parent Stock sahaja.

Sebelum ini eksport ayam yang meliputi ayam hidup, karkas ayam bulat, keratan daging ayam dan produk makanan berasaskan ayam dihentikan bermula 1 Jun 2022 bagi memastikan pengeluaran bekalan ayam yang berterusan supaya sekuriti makanan di Malaysia kekal terjamin.

Menurut MAFI keputusan memberi kebenaran khas itu dibuat setelah pihaknya mengadakan beberapa siri perbincangan terperinci dengan pemain industri dan persatuan penternak berhubung larangan eksport ayam berkuat kuasa 1 Jun itu.

Bagaimanapun MAFI menegaskan larangan eksport untuk ayam pedaging, ayam bulat, keratan ayam dan anak ayam Day Old Chick (DOC) umur sehari ayam pedaging, masih kekal berkuat kuasa.

“Kawalan secara fizikal di semua pintu keluar akan terus dilaksanakan oleh pegawai penguatkuasa MAQIS (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia) dan sebarang aktiviti untuk mengeksport komoditi berkenaan tidak dibenarkan.

“Konsainan eksport komoditi itu perlu diuruskan sewajarnya oleh pemilik permit,” kata MAFI.

MAFI berkata kerajaan memandang serius sekiranya terdapat sebarang penyalahgunaan terhadap kebenaran khas itu.

Sekiranya terdapat perlanggaran, tindakan akan dikenakan di bawah subseksyen 11(2) dan 11(3), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011 [Akta 728] dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya.

“Kerajaan akan terus memantau keadaan bekalan ayam dalam negara yang semakin beransur pulih dan dijangka akan kembali stabil bermula Jun 2022,“ kata MAFI.

Pada 23 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan dihentikan bermula 1 Jun sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil, sebagai langkah jangka pendek kerajaan menangani isu bekalan serta harga ayam. — Bernama