KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan ‘Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera’ dengan anggaran lebihan RM130.47 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ketika membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini berkata kutipan hasil negeri tahun depan dianggar RM5.268 bilion berbanding perbelanjaan RM5.138 bilion tahun depan.

“Tumpuan utama Belanjawan 2023 adalah untuk memacu dan memperkasa ekonomi negeri demi memastikan pembangunan Sabah dan kesejahteraaan rakyat secara inkusif serta berterusan,” katanya semasa membentangkan belanjawan itu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata kerajaan negeri mengunjurkan hasil negeri tahun ini mencapai RM5.988 bilion, antara lain kerana impak positif komoditi minyak mentah dan minyak sawit, malah boleh mencapai RM6 bilion sekiranya harga itu kekal pada paras tinggi.

Katanya kerajaan negeri mengunjurkan jumlah hasil secara konservatif kerana harga komoditi tidak menentu iaitu RM5.268 billion yang mana daripada jumlah itu sebanyak RM2.405 billion adalah daripada hasil cukai, hasil bukan cukai (RM2.311 bilion), dan terimaan bukan hasil (RM553.17 juta).

Hajiji berkata daripada jumlah perbelanjaan, RM792.28 juta disyorkan untuk emolumen; perbelanjaan berulang pula RM1.977 bilion, antara lain melibatkan perkhidmatan bekalan air dan pembetungan, pengurusan banjir, bantuan anak yatim dan miskin, pembangunan masjid, surau dan sekolah agama.

Katanya perbelanjaan khas diperuntuk RM2.369 bilion antara lain melibatkan penyelenggaraan infrastruktur; bantuan khas nelayan, Petani dan Penternak; pemberian sekolah dan badan keagamaan bukan Islam; serta bantuan badan berkanun, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

“Bagi membangunkan infrastruktur rakyat, RM1.16 bilion diperuntuk membangunkan jalan raya, komunikasi, sistem pengangkutan, bekalan air dan pembetungan; RM360.19 juta pula bagi pembangunan impak tinggi jalan raya, jambatan, cerun, bangunan dan pengurusan trafik serta keselamatan jalan raya.

“Sebanyak RM618.88 juta pula diperuntuk melaksanakan kerja pengurusan, pentadbiran, penyenggaraan dan operasi bekalan air bagi memastikan bekalan yang selamat dan berterusan dari segi kuantiti dan kualiti tercapai,” katanya.

Hajiji berkata RM212.63 juta diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar antaranya melibatkan program pembasmian kemiskinan, membaiki jalan penghubung antara kampung dan pekan, dan bekalan elektrik serta air di luar bandar.

“Kerajaan juga peka terhadap keluhan golongan miskin dan miskin tegar yang tidak mampu memiliki rumah sendiri, justeru kerajaan memperuntukkan RM120 juta bagi pembinaan sebanyak 1,500 buah Rumah Mesra Sabah Maju Jaya di seluruh Sabah khas untuk golongan sasar ini,” katanya.

Katanya bagi melestari alam sekitar, Jabatan Perhutanan Sabah dan Pusat Biodiversiti Sabah diperuntuk RM118.88 juta, antara lain bagi pembangunan pelancongan alam semulajadi, serta RM6.92 juta kepada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar melaksanakan strategi, program dan pelan tindakan selaras dengan elemen utama Kelestarian Hijau.

Beliau berkata RM26.41 juta juga diperuntukkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk operasi, aktiviti penguatkuasaan dan pelaksanaan program kesedaran serta perlindungan hidupan liar, juga mengurus mitigasi konflik hidupan liar dengan manusia.

Sementara itu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan setengah bulan gaji dengan kadar minima RM1,000 kepada seramai 20,271 orang penjawat awam negeri dibayar pada Januari 2023, dan Bantuan Khas Aidilfitri dan Kaamatan RM500 dibayar pada April 2023.

“RM12.83 juta diperuntukkan kepada semua kementerian dan jabatan untuk program pembangunan sumber manusia, di samping peruntukan RM7.5 juta bagi pembiayaan biasiswa dan kos latihan pegawai kerajaan di dalam dan di luar negeri,” katanya.

Sementara itu semua Ahli Dewan Undangan Negeri kerajaan diperuntuk RM3 juta dengan agihan RM2.5 juta untuk projek-projek kecil dan RM500,000 untuk bantuan kepada rakyat menerusi program Sentuhan Kasih. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image