KOTA BHARU: Polis Kelantan memohon kerjasama rakyat di negeri itu khususnya warga siber, supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kes culik sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak di pekarangan sekolah yang berlegar-legar dalam laman media sosial sejak kebelakangan ini, didapati tidak berasas.

“Beberapa hantaran yang dimuat naik dalam media sosial dan ditularkan telah mendorong Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya di Kelantan menjalankan siasatan.

“Dakwaan yang mengaitkan indvidu mencurigakan berada di pekarangan sekolah atau tempat tertentu telah disiasat oleh pihak polis, namun kesemua dakwaan berkenaan tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Muhamad Zaki berkata tindakan menyebar bahan atau perkara tidak berasas sehingga boleh menimbulkan kegelisahan awam dan ketakutan dalam masyarakat merupakan satu kesalahan.

Beliau berkata tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (mendatangkan kegusaran awam), yang boleh membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Polis Kelantan pada 22 dan 26 Sept lepas telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik pelajar sekolah rendah masing-masing di daerah Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati individu yang dikatakan berada di kawasan sekolah berkenaan tidak mempunyai niat untuk menculik sebaliknya mempunyai urusan lain,” katanya.

Ujar beliau lagi, dakwaan sama turut berlaku di Kuala Krai baru-baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk di daerah itu.

“Bila kita jalankan siasatan, individu yang dikatakan cuba menculik itu rupanya kakitangan sebuah syarikat perkhidmatan penapis air yang mempunyai urusan untuk membuat kutipan bulanan daripada pelanggan di situ,” katanya.

Muhamad Zaki berkata kejadian seumpama itu turut berlaku di kawasan Masjid Muhammadi, Kota Bharu pada awal September lepas, sehingga seorang lelaki kurang siuman menjadi mangsa keadaan apabila dibelasah oleh orang ramai kerana didakwa cuba menculik kanak-kanak.

Mengenai penularan satu pekeliling oleh sebuah sekolah di Kelantan yang mengingatkan ibu bapa supaya menjaga dan mengawasi anak mereka berikutan risiko culik, Muhamad Zaki berkata siasatan mendapati dakwaan itu juga tidak berasas.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan selepas tular dakwaan seumpama itu, namun perkara berkenaan tidak benar dan tidak berasas apatah lagi yang mengaitkan mengenai sindiket mengambil organ kanak-kanak dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai supaya merujuk sesuatu kejadian dan dakwaan itu melalui sumber sahih termasuklah daripada pihak polis supaya tidak berlaku kekeliruan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image