KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi diaktifkan semula susulan berlaku peningkatan lebih 400 peratus kes denggi pada tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sehingga 25 Mac lepas, sebanyak 26,222 kes denggi telah dilaporkan berbanding 8,124 kes bagi tempoh sama tahun lepas manakala jumlah kematian akibat komplikasi demam denggi turut meningkat iaitu 17 kes berbanding empat kes bagi tempoh yang sama.

“Maka, bagi menyelesaikan isu ini, kita akan libatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan doktor sukarelawan untuk turun secara berjadual dan bukannya berkala ke kawasan tumpuan penyebaran nyamuk Aedes di daerah atau lokasi tertentu.

“Untuk itu, kita tidak akan menggunakan kaedah memohon peruntukan tambahan tetapi sebaliknya menggunakan beberapa pendekatan bagi tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti memobilisasikan aset NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) di luar musim banjir untuk membawa peralatan bagi operasi (denggi) yang dilakukan,“ katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata antara pencegahan yang telah dilaksanakan dan akan disebar luas adalah kaedah penggunaan BioGel iaitu manik hidrogel bagi memerangkap dan membunuh nyamuk Aedes.

“Begitu juga dengan melakukan satu kaedah nyamuk (yang disuntik bakteria) wolbachia bagi melawan nyamuk Aedes. Ini adalah satu kaedah baharu secara puratanya lebih murah,“ katanya.

Beliau berkata perbelanjaan keseluruhan bagi menangani kes denggi adalah sekitar RM240 juta setahun, namun pendekatan kerajaan ialah untuk menggunakan 1/8 daripada peruntukan tersebut.

Selain itu, katanya, jawatankuasa berkenaan turut bersetuju mewujudkan High Level Committee Menangani Denggi di peringkat negeri untuk diselaraskan di peringkat daerah, mukim dan kawasan kampung atau perumahan yang dikenal pasti sebagai hotspot bagi mengatasi permasalahan kes denggi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut yakin Kerajaan Perpaduan mampu mencapai matlamat sifar denggi menjelang akhir penggal pentadbiran kerajaan itu.

Beliau berkata ini kerana Kerajaan Perpaduan sentiasa mengambil berat menyelesaikan masalah denggi dengan melaksanakan beberapa kaedah pencegahan yang proaktif untuk mencapai matlamat berkenaan secepat mungkin. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image