SEARCH

Kes pengurusan Goldman Sachs berhubung kes terbitan bon 1MDB pada 18 Jun

22 May 2020 / 14:58 H.

KUALA LUMPUR: Kes membabitkan Goldman Sachs International Ltd, yang berpangkalan di United Kingdom dan entitinya di Asia, Goldman Sachs (Asia) LLC and Goldman Sachs (Singapore), yang menghadapi pertuduhan berhubung dengan kes terbitan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM27.2 bilion (US$6.5 bilion) ditetapkan pada 18 Jun.

Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir berkata, Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 18 Mei untuk pengurusan kes, bagaimanapun ia dikosongkan kepada 18 Jun.

“Mahkamah menetapkan pengurusan kes bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan dokumen berhubung kes itu kepada pihak pembela di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah,” katanya kepada Bernama menerusi mesej Whatsapp ketika ditanya mengenai kes itu.

Pada 24 Feb, Goldman Sachs menerusi wakilnya, Ng Keng Leong mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 9 Nov tahun ini.

Pada Disember 2018, Malaysia mengemukakan empat pertuduhan ke atas tiga entiti berkenaan kerana meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dan Aabar Investment PJS Ltd (Aabar).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di 1MDB, Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 19 Mac, 2012 hingga 11 Nov, 2013.

Syarikat itu dituduh di bawah Seksyen 179 (c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 182 Akta yang sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara untuk satu tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menganggarkan kira-kira $4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 hingga 2014. – Bernama

Untitled Document

email blast