Kesahihan bubaran DUN Sabah akan ditentukan pada Ogos 17

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17 Ogos ini untuk menentukan sama ada keputusan Yang Dipertua Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini boleh diadili, iaitu boleh dibicarakan di mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan membubarkan DUN Sabah.

Perkara itu dibawa ke mahkamah oleh Tengku Fuad Ahmad, peguam bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan 32 lagi ahli DUN yang memohon kebenaran mahkamah untuk semakan kehakiman.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Tengku Fuad berkata mahkamah juga menetapkan 10 Ogos ini untuk hujahan bertulis daripada Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh dan 12 Ogos bagi pihak beliau (Tengku Fuad) memfailkan hujahan balas.

Beliau berkata permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu bagi menentukan sama ada Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, sebagai responden pertama, telah bertindak mengikut undang-undang semasa membubarkan DUN atas nasihat Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, responden kedua. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image