SEARCH

Ketua Polis Petaling Jaya mahu fokus inisiatif pendekatan mesra masyarakat

16 Mar 2020 / 17:06 H.

PETALING JAYA: Melakukan satu kebaikan sehari di luar skop tugasan - ini adalah cabaran yang dibentangkan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya yang baharu, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal kepada pegawainya selepas melaporkan diri untuk bertugas, tiga minggu lalu.

Membawa motto “Mesra Rakyat”, Nik Ezanee, 42, percaya pasukannya bukan sahaja membantu orang awam tetapi juga di kalangan mereka yang berkhidmat.

Beliau berkata ia adalah penting bahawa etika kepolisan yang baik bermula dengan penglibatan yang dekat dan mengekalkan hubungan baik dengan masyarakat.

“Apabila kita mendekatkan diri dengan masyarakat, pencegahan jenayah dapat dipertingkatkan dengan beberapa langkah. Masyarakat akan lebih selesa berurusan dengan kami,” beliau berkata, sambil menambah bahawa dia akan meletakkan lebih tumpuan kepada kes-kes ragut dan pecah rumah di daerah itu.

Nik Ezanee berkata beliau berhasrat untuk memberi perhatian yang lebih kepada barisan hadapannya - unit peronda harian dan mereka yang sering kali berinteraksi dengan masyarakat.

Misi dan visi beliau telah membuahkan hasil, seperti yang ditunjukkan di dalam beberapa peristiwa yang menampakkan pegawainya membantu masyarakat.

Antaranya ialah kes-kes yang melibatkan kereta rosak di bahu jalan dan menukar tayar yang bocor.

Satu lagi kisah kejayaan, yang dilaporkan oleh theSun pada hari Rabu lalu (11 Mac), juga menerima pujian netizen di media sosial, menunjukkan seorang pegawai polis menyuap makanan tengahari kepada seorang warga tua selepas dia diselamatkan, apabila disyaki ditinggalkan di pinggir jalan oleh keluarganya.

“Sejak pasukan polis ditubuhkan dua abad yang lalu, ia telah menjadi separa ketenteraan,” kata Nik Ezanee kepada theSun dalam satu temubual eksklusif.

“Pada masa yang sama, kita menentang komunis dan juga unsur-unsur lain, tempatan dan asing.

“Masanya sudah tiba bagi kita untuk menundukkan polisi yang berunsur ketenteraan dan mendekatkan diri dengan orang awam.

“Inilah sebabnya tagline ‘Lakukan Satu Kebaikan Sehari’ dibuat.

“Apabila kita melakulan perkara-perkara yang di luar skop tugasan, anda boleh lihat reaksi mereka.

“Penghargaan dan kekaguman di mata mereka tidak ternilai.

“Inilah kepuasan yang kita mahukan dan itulah ganjaran kita. Kita perlukannya untuk hidup dan memimpin melalui teladan.”

Beliau berkata masyarakat kini lebih berpendidikan dan sedar akan hak mereka, oleh itu adalah penting bagi pihak polis untuk mahir dalam undang-undang.

“Jika mereka mahir dalam undang-undang, maka mereka boleh menjelaskan mengapa mereka perlu menyemak dokumen pengenalan diri seseorang.

“Ini akan membantu situasi itu.

“Bagaimanapun, jika mereka tidak dapat menjelaskannya, maka ia akan membawa kepada pergolakan dan orang awam mungkin bertindak balas dengan cara yang berbeza.

“Inilah sebabnya kami ingin memberi penekanan dalam pengetahuan undang-undang kepada kakitangan kami.

“Sama ada mereka bagus dalam apa yang mereka lakukan atau tidak melakukannya sama sekali. Bersikaplah secara ikhlas, bekerjasama dengan integriti.

“Kami tidak mahu tindakan buruk seseorang itu mencemar imej seluruh PDRM,“ kata pegawai polis tertinggi daerah itu dalam nada tegas, sambil mengakui bahawa dia adalah seorang idealis dan cerewet dalam soal terperinci.

Nik Ezanee berkata beliau tidak berniat untuk membuat perubahan besar tetapi hanya “mengetatkan skru” dan mahu pegawai-pegawainya kembali kepada asas-asas kepolisan.

Beliau berkata bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dengan amalan rasuah di kalangan pegawainya dan akan membuat laporan secara peribadi terhadap mereka jika dia mengetahui akan penglibatan mereka.

Nik Ezanee juga merancang untuk membuat ibu pejabat polis daerah itu lebih mesra orang kurang upaya dan telah melancarkan satu inisiatif dengan menyediakan kerusi roda di premis itu.

TAGS

email blast