Semua pihak berwajib di Malaysia amat perlu berusaha menangani krisis kesihatan yang telah begitu lama melanda negara.

Saya bukan merujuk kepada pandemik Covid-19 yang sejak setahun kebelakangan ini hampir melumpuhkan dunia sejagat.

Yang menjadi isu yang kritikal di sini ialah pelbagai penyakit bukan berjangkit di kalangan rakyat Malaysia.

Gejala ini mewajibkan semua warganegara mengutamakan gaya hidup yang lebih berhemah berbanding apa yang sudah menjadi kelaziman selama ini.

Satu rejim gaya hidup Norma Baharu adalah amat perlu dipraktikkan kerana kumpulan penyakit tidak berjangkit ini meragut nyawa dan penghidupan warganegara dengan dahsyat sekali.

Selain penyebab utama kadar kematian yang semakin memuncak, ia juga merupakan bom jangka dari segi ekonomi dan kewangan.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Unesco yang dilaporkan oleh media memberi gambaran yang amat menggerunkan tentang situasi kesihatan jutaan rakyat Malaysia.

Dianggarkan 18 juta rakyat mengidap satu atau lebih penyakit tidak berjangkit manakala 15 juta atau separuh jumlah penduduk negara tidak mengamalkan gaya hidup bersenam iaitu yang tertinggi di negara ASEAN.

Selain daripada itu, 15 juta menghadapi masalah gemuk — juga tertinggi di ASEAN — manakala 11 juta mengalami masalah kemuraman yang merupakan pembunuh senyap yang mengakibatkan kerugian kepada ekonomi negara sehingga mencecah RM14 bilion setahun.

Juga dilaporkan bahawa 3.8 juta rakyat Malaysia mengidap kanser dan pada 2018 seramai lebih 18,000 orang mati akibat penyakit jantung atau purata dua orang setiap jam dan merupakan pembunuh utama dalam negara.

Malaysia adalah tuanrumah kepada 370 hospital kerajaan dan swasta yang bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Sememangnya lah sistem penjagaan kesihatan di Malaysia diiktiraf sebagai di antara yang terbaik di dunia dan di lebih 120 buah hospital kerajaan perkhidmatan penjagaan kesihatan boleh dianggap percuma bagi rakyat yang berpendapatan rendah.

Sebagai contoh, Hospital Kuala Lumpur (HKL), kemudahan seumpamanya yang tertua dalam negara, adalah di antara hospital umum yang terbesar di dunia.

Kekuatan kakitangan di HKL sahaja mencecah hampir 11,000 orang dengan bajet berjumlah RM1.2 bilion setahun iaitu lebih besar daripada peruntukan kewangan Pulau Pinang yang merupkan salah sebuah negeri yang termaju di Malaysia.

Terdapat banyak faktor yang membawa kepada situasi kesihatan yang amat membimbangkan ini yang memberi kesan negatif yang besar kepada negara dan rakyat.

Tidak dapat dinafikan bahawa salah satu perubahan yang perlu dilakukan oleh rakyat ialah melihat semula tentang penggunaan gula yang begitu tinggi.

Untuk tempoh yang begitu lama sehingga beberapa tahun yang lalu, kerajaan membelanja berbilion ringgit untuk subsidi gula supaya ianya mampu dibeli oleh rakyat.

Tetapi dasar subsidi gula memberi kesan negatif seperti yang dilihat daripada statistik rakyat negara yang mengidap penyakit kencing manis, salah satu daripada penyakit tidak berjangkit yang membawa kepada kesan sampingan yang serius.

Hakikatnya ialah subsidi gula ini adalah dasar yang silap di samping telah membawa kepada komoditi ini menjadi bahan penyeludupan ke negara jiran.

Sekiranya kita mahu menjadi rakyat yang lebih sihat, dan pada masa yang sama menyumbang kepada penurunan kos penjagaan kesihatan yang meningkat langit, pihak berkuasa juga perlu mengkaji semula kewujudan restoran yang beroperasi 24 jam.

Sebagai seorang yang telah melawat lebih 60 buah negara dan bandaraya di seluruh dunia, saya boleh merumuskan bahawa tiada negara lain yang begitu mengambil ringan dari aspek gaya hidup serta pemakanan secara berlebihan di restoran-restoran 24 jam ini.

Bahan utama yang menjadi hidangan di restoran-restoran ini ialah teh tarik yang boleh dianggap minuman kebangsaan negara yang dicampur dengan susu pekat yang mengandungi kandungan gula yang amat tinggi.

Mujurlah dalam tempoh setahun ini apabila negara menjalani pelbagai peringkat perintah kawalan pergerakan, restoran-restoran tidak lagi buat sementara waktu beroperasi 24 jam dan mungkin kadar kencing manis menurun sedikit.

Sudah diketahui umum bahawa kakitangan Kementerian Kesihatan merupakan golongan yang paling banyak kerja dan letih dalam perkhidmatan awam yang mempunyai 1.6 juta kakitangan.

Kasihani lah rakan-rakan kita yang bertungkus lumus ini.

Tiada kata yang boleh menggambarkan betapa besarnya pengorbanan peribadi yang dicurahkan kumpulan barisan hadapan ini dalam mengawal pandemik Covid-19.

Seluruh rakyat terhutang budi kepada golongan barisan hadapan ini dan sama-sama lah kita mencari jalan bagaimana membalas budi mereka.

Sebaik sahaja kita berupaya mengawal pandemik ini daripada terus menular, adalah amat penting sebahagian daripada bajet Kementerian Kesihatan disalurkan ke arah memperkasakan pengetahuan penjagaan kesihatan di kalangan rakyat.

Menurut laporan media, lebih 93% rakyat Malaysia adalah jahil tentang penjagaan kesihatan.

Situasi ini adalah amat serius.

Pada sesuatu masa, terdapat lima juta warga Malaysia dalam sistem persekolahan dan eloklah pengetahuan penjagaan kesihatan diserap dalam kurikulum pembelajaran.

Ia juga harus bermula di rumah.

Marilah kita bersama-sama menjadikan ini satu agenda nasional sebelum kos penjagaan kesihatan atau lebih tepat lagi penjagaan pesakit mencecah ke tahap tidak lestari.

Apa pun, mencegah adalah jauh lebih baik dan murah berbanding merawat.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image