PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOM) kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Digital, kata Menterinya Fahmi Fadzil.

Dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di sini, Fahmi berkata pertukaran nama itu telah disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Saya ingin maklumkan secara rasminya bahawa nama kementerian ini ialah Kementerian Komunikasi dan Digital, ‘The Ministry of Communications and Digital’. Ini telah disahkan oleh KSN pada pagi tadi,” katanya hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Seri Mohamad Mentek.

Ditanya adakah agensi-agensi yang sebelum ini diletakkan di bawah KKOM, seperti yang melibatkan kebudayaan masih kekal di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital, beliau berkata agensi berkaitan seni dan budaya akan diletakkan di bawah kementerian lain.

“Mesyuarat jemaah menteri pada hari ini telah memutuskan bahawa aspek seni dan budaya itu bukan di bawah kementerian ini, tetapi mungkin pada waktu ini saya serahkan pada menteri berkenaan untuk buat pengumuman,” katanya.

Mengenai Mesyuarat Kabinet pagi tadi Fahmi berkata mesyuarat berjalan dengan sangat positif dan produktif.

“Mulanya saya jangkakan mungkin tempoh mesyuarat itu lama, tetapi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) nampaknya ingin kita semua bekerja dengan pantas, kami mempunyai banyak tugas untuk dilakukan.

“Malah saya rasa beberapa isu utama... berkaitan dengan kos sara hidup, berkait urus tadbir yang lebih baik dan juga meneliti masalah ketirisan dan aspek penjimatan yang boleh dilakukan.

“Perdana Menteri telahpun mengarahkan semua menteri untuk potongan gaji 20 peratus, tetapi lebih dari itu beliau mahu kami untuk memfokuskan dengan segera pada kerja yang kementerian boleh lakukan untuk memastikan yang kami serius dalam perkara berkaitan kos kehidupan, tadbir urus yang baik dan mengurangkan ketirisan, menjimatkan wang rakyat, itu perlu menjadi keutamaan kami,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image