JOHOR BAHRU: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya Jumaat lepas.

Mohd Ghazali Nor Hisham, 33, didakwa mencederakan Aliza Hasan, 32, menggunakan pisau di Taman Desa Rakyat, Pasir Gudang, pada 10.30 pagi, 13 Mei 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau didenda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairi Mohamed Said tidak menawarkan jaminan, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau mencadangkan wang jaminan RM20,000. Mohd Ghazali yang tidak diwakili peguam memohon dibenarkan jaminan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa atau saksi kes itu serta melapor diri sekali dalam setiap bulan di balai polis berdekatan.

Kes disebut semula pada 19 Jun untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image