SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merampas sebanyak 5,015 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi bernilai lebih RM12,500 di sebuah premis industri ringan di Zon Perindustrian Tasik Jaya, pagi tadi.

Pengarah KPDN negeri Muhammad Zahir Mazlan berkata dalam serbuan kira-kira 10.15 pagi itu pihaknya menjumpai 295 kotak minyak masak peket bersubsidi sekilogram berada di dalam premis yang merupakan tempat pengumpulan minyak masak terpakai.

Katanya hasil pemeriksaan mendapati premis dan individu di premis itu tidak mempunyai sebarang lesen atau surat kebenaran daripada pengawal bekalan bagi berurusan dengan barang kawalan.

“Premis ini disyaki melakukan pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki dengan cara memotong minyak masak plastik polibeg dan mencampurkan ke dalam tangki minyak masak terpakai bagi mendapatkan kuantiti yang banyak sebelum dijual kepada syarikat lain untuk dijadikan bahan api bio.

“Sindiket ini dipercayai telah menjalankan kegiatan sekitar enam bulan dan berselindung di sebalik premis pengumpulan minyak masak terpakai,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Zahir berkata empat warga tempatan berumur antara 22 hingga 46 tahun ditahan bagi membantu siasatan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image