KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dua gerai nasi ayam yang didakwa mengambil bekalan makanan itu dari restoran bukan Muslim seperti tular menerusi media sosial baru-baru ini.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rosol Wahid berkata siasatan terperinci dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati bersalah.

Rosol berkata pihaknya telah menghubungi KPDNHEP Cawangan Pulau Pinang dan mendapati tiada kesalahan di premis berkenaan berdasarkan bidang kuasa di bawah kementerian itu.

“Menjadi kesalahan apabila kedai itu ‘menulis’ makanan dijual di kedai halal namun produknya tidak halal. Bagaimanapun, kita akan lakukan siasatan lanjut bersama JAKIM berhubung isu berkenaan,“ katanya pada sidang media selepas menghadiri perasmian Kopi Merdeka Tealive di Pavilion di sini hari ini.

Tular menerusi media sosial video berdurasi dua minit 38 saat dua lelaki Melayu memasuki sebuah restoran bukan Muslim di Paya Terubong dipercayai untuk mengambil nasi ayam kononnya untuk dijual di gerai milik orang Melayu di Sungai Ara.

Hasil siasatan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bersama Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Pulau Pinang mendapati makanan itu dimasak di cawangan Persiaran Gurney sebelum dibawa untuk dijual di premis di Sungai Ara yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Rosol menasihati pengguna agar peka dalam memperoleh produk halal dengan melakukan pemeriksaan terhadap ketersediaan sijil halal dan kebersihan premis sebelum melakukan pembelian.

Dalam pada itu, Rosol menyeru para peniaga menurunkan harga jualan makanan memandangkan harga ayam kembali stabil.

“Sudah tidak ada alasan untuk mereka (peniaga) kekalkan harga lama tetapi sehingga hari ini kita dapati mereka amat degil untuk menurunkan harga tersebut. Jadi kita telah cari jalan dan periksa, mungkin ada pencatutan dan sebagainya,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image