JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan berkompromi dengan peniaga yang memanipulasi harga ayam serta menjualnya melebihi harga maksimum.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata hal ini berikutan terdapat aduan bahawa ada peniaga yang menjual ayam standard melebihi RM8.90 sekilogram.

“Setakat ini saya sudah beritahu penguat kuasa supaya memantau sebab kita ada laporan mereka (peniaga) yang buat (jual ayam melebihi harga ditetapkan) bukan secara tersorok tetapi sudah berani ambil gambar dan jual (pada harga) RM12 atau RM13 sekilogram.

“Walhal ia melanggar harga kawalan kita iaitu RM8.90 sahaja, jadi kita ambil tindakan dan kompaun. Tetapi kita akan tengok mengapa perkara ini berlaku... katanya dia (peniaga) dapat dengan harga yang mahal, macam mana hendak jual dengan harga tersebut (harga kawalan).

“Itu alasan yang diberi, jadi kita akan siasat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Johor 2022 di Angsana Johor Bahru Mall di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan terdapat peniaga menjual ayam melebihi harga maksimum.

Rosol berkata dakwaan bahawa peniaga menerima ayam daripada pemborong pada harga yang mahal sepatutnya tidak berlaku kerana kerajaan telah menetapkannya sebanyak RM5.60 sekilogram.

“Kita akan siasat sebab kita dah tentukan harga dari ladang RM5.60 dan kerajaan beri subsidi kepada ladang ayam RM1.40 sekilogram.

“Jadi harga ayam dari ladang mesti jual kepada pemborong RM5.60 sekilogram, campur subdisi kerajaan RM1.40 itu jumlahnya RM7. Jadi sepatutnya tidak ada alasan untuk jual mahal,“ katanya.

Beliau berkata susulan itu, KPDNHEP sentiasa melakukan pemantauan dan sehingga kini, sebanyak RM270,000 kompaun telah dikeluarkan melibatkan 1,114 kes berkaitan ayam serta telur menerusi Skim Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur yang dikuat kuasa pada 5 Feb lepas.

Justeru itu, Rosol menasihati orang ramai agar memuat naik aplikasi Price Catcher yang berfungsi membuat perbandingan harga bagi mendapatkan barangan pada harga berpatutan. — Bernama