JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan di sebuah kilang di Kota Masai, Pasir Gudang, semalam.

Pengarahnya Mohd Hairul Anuar Bohro berkata serbuan kira-kira 11 pagi itu menyita 13.6 tan metrik minyak masak yang disyaki dicampur bersama minyak masak terpakai selain menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang merupakan pemilik syarikat itu bagi membantu siasatan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati premis terbabit dipercayai menjual minyak masak bersubsidi yang dicampurkan dengan minyak masak terpakai kepada syarikat proses biodiesel.

“Sindiket ini disyaki bergiat aktif sejak setahun lalu dan premis digunakan untuk aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki dengan cara memotong plastik poli beg minyak masak dan mencampurkannya ke dalam tangki minyak masak terpakai bagi mendapatkan kuantiti yang banyak untuk jualan dan keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua rampasan dianggar bernilai RM88,785 termasuk sejumlah peralatan lain yang digunakan untuk aktiviti penyelewengan terbabit iaitu 20 tangki petak, gunting berserta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image