IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk membangunkan pasar-pasar awam lama sebagai pasar warisan sekali gus menjadi produk pelancongan negara.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata bagi mencapai objektif itu, pihaknya akan melakukan kajian ke atas pasar-pasar usang di seluruh negara dengan memberi keutamaan kepada premis yang lama supaya ciri-ciri warisannya dapat dikekalkan mengikut akta sedia ada.

“Sebagai contoh, pasar awam bertaraf warisan negara di Taiping yang menjadi kebanggaan negeri Perak sedang dalam pembinaan dijangka siap pada tahun hadapan sempena ulang tahun ke-150 jadi harap ia dapat siap sepenuhnya dan dirasmikan ketika itu.

“Ia mampu menjadi tarikan pelancong sebab itu mengambil masa panjang untuk mereka bentuk kerana ada ciri keistimewaaan yang kita tidak boleh sewenang-wenangnya hendak robohkan, malah kayu pun kena pilih jenis sama,“ katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan program Walkabout sempena Tahun Baru Cina di Pasar Besar Ipoh di sini hari ini.

Nga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang berkata beliau juga akan melakukan lawatan di pasar warisan yang dikenal pasti termasuk Pasar Awam Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang dibina pada pertengahan 1960-an dan pernah terbakar pada 2014.

Dalam lawatannya hari ini, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kerja membaik pulih Pasar Besar Ipoh yang dibina pada 1959 berikutan keadaan yang usang.

“Kerja membaik pulih akan dimulakan tahun ini termasuklah bagi kerosakan wayar, lantai dan longkang dan kita akan memastikan perkara asas diutamakan dahulu.

“Kemudian kita akan merancang proses menaik taraf secara keseluruhan supaya pasar awam menjadi bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja bersih tetapi mempunyai tarikan pelancong, dan peruntukan akan disediakan,“ katanya.

Sementara itu dalam satu majlis berasingan, sebanyak RM1 juta diluluskan bagi membina pasar sementara untuk Pasar Pasir Pinji di sini yang sudah uzur dan daif.

Nga berkata pembangunan semula pasar itu secara amnya dapat menyumbang kepada peningkatan tahap sosioekonomi dan kualiti hidup masyarakat setempat selain meningkatkan kualiti serta taraf kemudahan dan perkhidmatan awam.

“Pembinaan pasar ini berlandaskan ciri-ciri yang mampan antaranya dengan pemasangan panel solar yang diharapkan supaya sumber tenaga akan digantikan dan tidak perlu membayar bil eletrik selain sistem penuaian air hujan yang boleh digunakan bagi tujuan pembersihan,” katanya.

Beliau berkata pasar sementara yang berkeluasan 0.5 hektar itu akan menempatkan 229 peniaga dan jaraknya hanya kira-kira 100 meter dari pasar sedia ada dan akan mula dibina kira-kira tiga bulan lagi yang dijangka siap dalam masa setahun. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image