NIBONG TEBAL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sini semalam, melibatkan rampasan 17,200 liter bahan bakar itu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri A.Mogan berkata pihaknya menjalankan serbuan di sebuah kawasan perumahan pukul 7 pagi semalam hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak seminggu lepas.

“Pihak kami pada mulanya mengekori sebuah lori bonded yang dipercayai membeli minyak diesel bersubsidi di beberapa buah stesen minyak di seluruh Pulau Pinang pada waktu malam hingga awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, sebelum kenderaan tersebut pergi ke kawasan di Nibong Tebal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan itu pasukan penguat kuasa menemukan sebuah lori tangki berwarna biru gelap berkapasiti 17,000 liter dan sebuah lori bonded tujuh tan yang diisi dengan enam tangki fiber berkapasiti 1,000 liter setiap satu yang telah diubah suai.

Katanya, sebanyak 16,000 liter minyak diesel ditemukan dalam lori tangki tersebut dan 1,200 liter diesel dalam lori bonded tersebut.

Mogan berkata dua lelaki tempatan berusia 50an yang juga pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata pihaknya percaya sindiket itu menjalankan kegiatan penyelewengan dengan membeli diesel di stesen-stesen minyak dengan harga murah, sebelum menjual semula dengan harga yang lebih mahal kepada pihak industri.

“Lori bonded itu berperanan membeli minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak sebelum melakukan pemindahan bahan api tersebut ke lori tangki di kawasan perumahan berkenaan,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image