KEPALA BATAS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggalakkan kaum wanita untuk menjalani ujian pengesahan awal kanser payudara dan kanser pangkal rahim secara percuma yang disediakan oleh kerajaan.

Timbalan Menterinya Aiman Athirah Sabu (gambar) berkata kementerian, melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), sentiasa berusaha untuk mengurangkan statistik wanita tercicir daripada mendapatkan kedua-dua ujian pengesanan ini.

“Berita baiknya adalah sepanjang Mei ini sempena meraikan Hari Ibu, selain dua-dua ujian ini (ujian Mamogram dan HPV DNA), ujian BMI, tekanan darah, kolesterol dan glukos diberikan secara percuma kepada semua wanita yang layak.

“Selepas Mei sehingga hujung tahun, Ujian Mamogram dan HPV DNA masih diteruskan secara percuma,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesejahteraan Wanita: Kanser Wanita dan Gaya Hidup di sini hari ini.

LPPKN telah menjalankan Program Subsidi Ujian Mammogram ini semenjak 2007, dan sehingga April 2023, seramal 47,166 orang wanita di Pulau Pinang telah mendapat manfaat daripada program tersebut.

Sementara Program Saringan Kanser Serviks menggunakan Ujian HPV DNA telah dilaksanakan semenjak 2019, menyaksikan sehingga April 2023, seramai 2,867 orang wanita di Pulau Pinang telah mendapat manfaat daripada program ini.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN Hairil Fadzly Md Akir berkata kefahaman dan kesedaran untuk pengesanan awal kanser adalah sangat penting dalam menangani peningkatan kes kanser masa kini.

Menurut beliau, kanser payudara adalah penyumbang kanser paling tinggi dalam kalangan wanita di Malaysia diikuti Kanser Kolorektal dan Kanser Serviks.

“Data Laporan Kanser Kebangsaan 2012-2016 menunjukkan peratus kes yang dikesan pada tahap lewat iaitu pada tahap tiga dan empat menunjukkan peningkatan iaitu pada 47.9 peratus berbanding 43.2 peratus dari Laporan Kanser Kebangsaan 2007-2011.

“Tren ini sangat membimbangkan dan jika tiada langkah-langkah diambil untuk menggalakkan lebih ramai wanita terutama yang berisiko tinggi menjalani ujian saringan ini, kadar kematian akibat kanser payudara akan meningkat,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image