SEARCH

KTMB perkenal tambang fleksi ETS bermula Mac 1

30 Dec 2019 / 16:02 H.

KUALA LUMPUR: Pengguna Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bakal menikmati kadar tambang yang lebih berpatutan apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan struktur tambang fleksi bermula 1 Mac tahun hadapan.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memberitahu tiket bagi tambang fleksi itu mula dijual pada 15 Jan tahun hadapan bagi perjalanan ke semua destinasi perkhidmatan ETS dari 1 hingga 31 Mac 2020.

Menerusi pelaksanaan itu, pengguna ETS boleh mendapatkan tiket tambang perjalanan yang lebih menjimatkan mengikut cita rasa masing-masing, sekali gus memberi kelebihan kepada mereka untuk merancang perbelanjaan dan perjalanan dengan lebih baik.

“Contohnya bagi perjalanan pada musim perayaan atau cuti sekolah, pengguna yang membuat tempahan awal akan menikmati kadar tambang yang lebih rendah berbanding mereka yang membeli pada saat akhir.

“Pengguna juga berpeluang menikmati penjimatan berganda menerusi promosi yang bakal ditawarkan dari semasa ke semasa,“ menurut kenyataan itu.

Sebagai pengenalan, KTMB juga menawarkan promosi “Seleksi Tempat Duduk” percuma untuk penumpang membuat pilihan tempat duduk tanpa sebarang caj tambahan bagi perjalanan antara 1 dan 30 Mac 2020.

KTMB juga masih menawarkan harga tambang konsesi untuk pesara kerajaan dan isteri, warga emas, Orang Kurang Upaya, kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun, pelajar (pemegang kad KTM i-card), polis, tentera dan bomba. — Bernama

email blast