KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan perkhidmatan KTM komuter tambahan tanpa henti selama tiga hari dua malam bermula 4 Feb depan sempena sambutan Thaipusam.

Ketua Kawalan Operasi KTMB Afzar Zakariya berkata operasi KTM komuter tanpa henti itu melibatkan laluan Batu Caves- Sungai Gadut- Batu Caves dan Pelabuhan Klang-Batu Caves-Pelabuhan Klang dengan kekerapan perkhidmatan setiap satu jam.

“Perkhidmatan KTM Komuter tambahan ini akan bermula seawal 10 malam pada 4 Feb dari stesen Sungai Gadut ke stesen Batu Caves manakala tren tambahan pertama dari Pelabuhan Klang ke Batu Caves akan bermula seawal 11.43 malam pada hari yang sama.

“Sebanyak 24 stesen akan beropeasi selama 24 jam sepanjang tempoh tersebut antaranya Seremban, Nilai, Kajang dan Klang. Bagaimanapun, tiada perkhidmatan tren tambahan ke dan dari laluan stesen Tanjung Malim-Batu Caves -Tanjung Malim,” katanya pada sidang media Perkhidmatan KTM Komuter sempena Thaipusam 2023 di sini, hari ini.

Afzar berkata pihaknya menganggarkan seramai 182,000 pengguna akan menggunakan perkhidmatan komuter sepanjang tempoh tersebut dengan jumlah penumpang dijangka meningkat pada hari kemuncak, 5 Feb (Ahad).

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya membuat persediaan awal dengan mendapatkan kad Komuter Link lebih awal dari tarikh perjalanan atau menggunakan kad Touch ‘n Go dengan baki mencukupi bagi memastikan kelancaran perjalanan dan mengurangkan kesesakan di stesen.

“Pihak KTMB juga ingin mengingatkan semua pengguna yang bakal mengunjungi Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves diwajibkan memakai pelitup muka semasa berada di dalam tren seperti mana arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan pada masa ini,” katanya.

Para pengguna dinasihat mendapatkan informasi jadual tren tambahan ini di media sosial rasmi KTMB, laman sesawang KTMB, www.ktmb.com.my, dan juga melalui aplikasi MyRailtime KTMB. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image