KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM39.31 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 Sept 2022, menurun 18 peratus atau RM8.71 bilion berbanding RM48.02 bilion dicatatkan dalam tempoh sama pada 2021.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku ketiga 2022 berakhir 30 Sept 2022 berjumlah RM12.32 bilion, merosot RM1.65 bilion atau 12 peratus berbanding RM13.97 bilion pada suku ketiga 2021.

KWSP dalam kenyataan hari ini berkata, bagaimanapun, bagi suku ke suku, jumlah pendapatan pelaburan kasar yang diraih pada suku ketiga 2022 mencatat peningkatan 11 peratus berbanding RM11.14 bilion pada suku kedua 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata prestasi suku ketiga 2022 yang lebih baik itu disumbangkan oleh keadaan pasaran pelaburan ekuiti dan pendapatan tetap yang stabil.

“Terdapat kebimbangan bahawa kadar faedah lebih tinggi akan mendorong kepada kemelesetan global, ditambah pula dengan risiko geopolitik berterusan dan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).

“Bagaimanapun di sebalik cabaran ini, pendekatan pelaburan KWSP yang berdisiplin berpandukan Alokasi Aset Strategik yang mantap dan pengurusan portfolio aktif, membantu mengurangkan impak dan membolehkan KWSP memberikan prestasi stabil, didorong oleh lonjakan kukuh dalam pasaran domestik,” katanya.

Pada suku ketiga 2022, ekuiti merangkumi 45 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP sebanyak RM5.49 bilion manakala instrumen pendapatan tetap yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf serta pinjaman dan bon menyumbang 39 peratus atau RM4.77 bilion.

Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan RM1.67 bilion manakala pendapatan daripada instrumen pasaran wang menjana RM390 juta, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset ini.

Pada suku ketiga 2022 juga, pelaburan luar negara KWSP yang membentuk 36 peratus daripada jumlah aset pelaburannya terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatannya iaitu RM5.28 bilion atau 43 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan.

Sementara itu, sehingga September 2022, aset di bawah pengurusan KWSP ialah RM961.01 bilion.

Di sebalik cabaran makroekonomi, pertumbuhan aset KWSP kekal sihat berikutan caruman yang diterima sehingga September 2022 adalah RM63.61 bilion.

“Dari aspek pelaburan, KWSP mengekalkan daya tahan dan fokus terhadap perkara yang boleh kami kawal iaitu peruntukan aset, kos, dan strategi menyeluruh yang memberi penekanan terhadap kemampanan jangka panjang pelaburan dan pulangan, selaras dengan Alokasi Aset Strategik kami.

“Walaupun ketidaktentuan pasaran global terus menjadi kebimbangan, kami mengambil sikap berwaspada tetapi optimis dengan tidak mengabaikan petunjuk yang mencadangkan penambahbaikan kepada prospek ekonomi makro seperti kemungkinan kepada kemuncak inflasi global dan jangkaan Fed bahawa kenaikan kadar faedah akan mula perlahan dalam beberapa bulan akan datang,” kata Amir Hamzah. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image