IPOH: Lapan lelaki ditahan polis kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pasir Puteh berhampiran kawasan Station 18 di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan 17 hingga 24 tahun itu, ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Dalam operasi berkenaan, 37 motosikal turut disita atas pelbagai kesalahan dan 391 saman trafik dikeluarkan kepada pengguna jalan raya.

“Sebanyak 185 motosikal dan 258 individu diperiksa sepanjang operasi dijalankan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata operasi yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perak itu juga berjaya menahan tiga lelaki berusia 24 hingga 32 tahun kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya 62 pegawai dan anggota polis serta enam pegawai dan anggota AADK negeri terlibat dalam operasi yang dijalankan selama enam jam bermula 12 tengah malam tadi.

“Polis akan terus menjalankan operasi bersepadu sebegini dari semasa ke semasa bagi memperkasakan lagi tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap samseng jalanan di daerah ini.

“Ia juga sebagai usaha mengurangkan kes kemalangan jalan raya di samping membantu mencegah jenayah jalanan di sekitar bandar raya Ipoh,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image